BEKAS perdana menteri Najib Razak tampil mempertahankan dirinya yang dilihat kerap berswafoto dalam setiap program yang dihadirinya dengan menyifatkan ia sebenarnya atas kehendak rakyat.
Beliau berkata hanya menuruti permintaan orang ramai yang mahu berswafoto dengan dirinya.
“Saya buat apa yang dikehendaki pengundi di sini, bila saya berjalan macam di Tesco, mereka berminat nak ambil selfie, hatta dalam masjid pun.
“Swafoto atas permintaan, bukan saya suruh dia. Dia (rakyat) sendiri minta. Saya naik MRT tadi pun ramai yang minta selfie,” katanya kepada media di Semenyih hari ini.
Sebelum ini rata-rata pengundi Semenyih yang ditemui The Malaysian Insight berharap bekas perdana menteri Najib Razak akan menjelaskan skandal rasuah ke atasnya dan bukan hanya berswafoto dengan orang ramai.
Najib berkata tidak perlu membuat penjelasan berhubung skandal rasuahnya di Semenyih kerana telah berbuat demikian menerusi laman media.
“Pasal kes di mahkamah saya dah buat posting, lagipun saya tak boleh ulas banyak sangat pasal kes di mahkamah, bimbang sub judice.”
Najib dilihat banyak membantu Barisan Nasional berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Semenyih yang menyaksikan pertandingan empat penjuru.
Beliau memulakan program santainya hari ini dengan menaiki MRT Sungai Buloh dan turun di stesen MRT Kajang, di Kajang, beliau sempat mengunjungi restoran sate terkenal Haji Samuri.
Najib kemudiannya melawati Tesco Bandar Baru Bangi bagi bertemu pengundi dan melayani orang ramai yang teruja berswafoto dengan beliau. – 23 Februari, 2019.
Komen