Najib tak tahu wujud pakatan guling Dr Mahathir


Diyana Ibrahim

Najib Razak mengaku tidak tahu wujudnya pakatan untuk menyingkirkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melalui undi tidak percaya seperti didakwa PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Ogos, 2017.

NAJIB Razak mengaku tidak tahu wujudnya pakatan untuk menyingkirkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melalui undi tidak percaya seperti didakwa PAS.

Katanya, ada banyak versi mengenai dakwaan itu dan beliau enggan mengulas mengenainya kerana tidak tahu perkara sebenar.

“Saya tak tahu lagi, saya tak boleh nak komen. Saya tak tahu apa sebenarnya.

“Cerita di luar macam-macam tapi hakikat sebenarnya saya belum tahu lagi,” katanya kepada media di Semenyih.

Minggu lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata pemimpin PAS berjanji untuk menyokong Dr Mahathir jika ada undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen.

Terdahulu hari ini presiden PKR mengkritik PAS membuat pembohongan mengenai undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir. 

PAS sebelum ini membayangkan ada gerakan untuk menjatuhkan Dr Mahathir, kenyataan yang dibuat selepas pertemuan pemimpin kanan parti Islam itu termasuk Presiden Abdul Hadi Awang dengan perdana menteri.

Abdul Hadi juga kemudian menegaskan jika ada undi tidak percaya, wakil PAS di Parlimen akan menyokong Dr Mahathir.

Presiden PKR Anwar Ibrahim menafikan ada gerakan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir selaku perdana menteri. 

Ahli Parlimen Port Dickson itu sebaliknya berkata cakap-cakap seperti datang dari Abdul Hadi dan usaha PAS mahu memecahbelahkan Pakatan Harapan selepas ia gagal dalam pilihan raya umum lalu.

Katanya, beliau sudah bertemu dengan pemimpin-pemimpin komponen PH yang lain dan semua mereka tidak tahu adanya usaha membawa undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir. – 23 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen