Berita baik tol pancing undi di Semenyih, kata Najib


Diyana Ibrahim

Najib Razak menempelak Pakatan Harapan yang didakwa cuba memancing undi dengan pengumuman mengenai tol sewaktu kempen PRK Semenyih sedang berjalan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 Februari, 2019.

KERAJAAN hanya mahu memancing undi kalau mengumumkan “berita gembira” berkaitan tol ketika Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih berlangsung sekarang, kata bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Katanya, tindakan kerajaan itu hanya mahu menang pilihan raya dan bukannya memenuhi janji manifesto semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Ini janji kepada rakyat, sekarang ini rakyat menunggu tapi kalau PH buat waktu pilihan raya DUN Semenyih nampak sangatlah mereka nak pancing undi sebenarnya,” katanya kepada media semasa berkempen di Semenyih.

Kata Najib lagi, kerajaan PH sepatutnya melaksanakan janji mereka lebih awal sebaik saja memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei dan bukannya sekarang.

“Patutnya dilakukan lepas 9 Mei , ini dah lebih 9 bulan. Dia dah terlambat 9 bulan sebenarnya. “

Najib turut mengulas mengenai kenyataan beberapa menteri kabinet bahawa kerajaan akan mengumumkan sesuatu berkaitan tol lebuh raya dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin semasa berkempen di Semenyih pada Khamis berkata “dalam masa sehari dua” menteri yang bertanggungjawab akan membuat pengumuman mengenai tol.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang berkempen malam semalam juga menyebut perkara sama dan membayangkannya sebagai “keputusan yang baik.” 

Kempen pilihan raya kecil DUN Semenyih hari ini masuk hari ketujuh sebelum pengundian berlangsung pada 2 Mac ini.

Pada akhir Disember lepas, Menteri Kerja Raya, Baru Bian yang bertanggungjawab terhadap jalan raya dan tol berkata kabinet mengarahkan beliau mengemukakan cadangan pada Mei ini untuk mengurangkan beban tol terhadap rakyat.

Cadangan itu termasuk usaha mengurangkan beban tol jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang, yang turut dibantu perunding audit bebas bertauliah.

Pakatan Harapan dalam manifestonya untuk PRU14 berjanji antara lain menghapuskan tol secara berperingkat.

“Hasil kajian itu dijangka akan dibentangkan untuk pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri pada bulan Mei 2019 nanti,” kata Baru ketika itu.

Kenyataan Baru itu menyusul pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai penangguhan kenaikan tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya bertol di seluruh Malaysia yang sepatutnya naik tahun ini.

Lim juga pada masa itu mengumumkan pemansuhan tol ke atas motorsikal di tiga laluan iaitu kedua-dua jambatan di Pulau Pinang dan Lebuh Raya Laluan Kedua di Johor berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Disember lalu melibatkan anggaran kos RM994.43 juta, tambah Lim. – 23 Februari, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen