Perancis puji kejayaan perangi jihadis di Sahel


French Prime Minister Edouard Philippe mengatakan perjuangan anti-pengganas di Sahel memerlukan keazaman, ketahanan dan kerendahan hati. – Gambar EPA, 23 Februari, 2019.

KEMPEN menentang kumpulan jihadis di Sahel, Afrika kini dapat mengecapi “hasil memberangsangkan”, kata perdana menteri Perancis di Mali pada hari Sabtu, dua hari selepas tentera Perancis membunuh seorang pemimpin kumpulan pelampau di rantau itu.

“Perjuangan anti-pengganas di Sahel memerlukan keazaman, ketahanan dan kerendahan hati. Kami hadapi satu pertepuran sengit,” kata Edouard Philippe kepada wartawan.

Perdana menteri Perancis itu tiba pada Jumaat di ibu negara Bamako bersama Menteri Pertahanan Florence Parly, dalam lawatan bagi menunjukkan “sokongan” kepada Mali, yang kini menempatkan sekitar 4,500 anggota tentera Perancis sejak 2014 bagi mengambil alih bahagian utara negara itu setelah ia jatuh ke tangan kumpulan jihadis.

“Kami lihat bahawa kami berjaya mencapai keputusan yang memberangsangkan, kita berjaya ganggu rangkaian (itu), saya tidak ragu-ragu bahawa kehadiran (tentera Perancis) ini memberi kesan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa tentera Perancis “akan terus berada (di sini) selagi diperlukan”.

Bagaimanapun beliau enggan memberi ulasan secara terperinci mengenai kematian Djamel Okacha di Mali Khamis lalu, seorang komander warga Algeria dalam organisasi Al-Qaeda, kumpulan Islamic Maghreb (AQIM).

Kerajaan Mali berkata pada hari Jumaat bahawa pasukan bersenjata Perancis membunuh Okacha dalam serbuan udara dan darat yang mensasarkan kenderaan yang digunakan Djamel di utara Timbuktu.

Kematian Djamel mengakhiri operasi pemburuan pemimpin AQIM itu sejak setahun lalu berikutan dituduh terlibat dalam penculikan warga Barat di rantau Sahel. – AFP, 23 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen