Alkohol bunuh 69 orang di India, ratusan dimasukkan ke hospital


Seramai 69 orang maut dan 200 orang dimasukkan ke hospital akibat keracunan alkohol di timur laut India.- Gambar AFP, 23 Februari 2019.

SERAMAI 69 pekerja maut dan kira-kira 200 orang dimasukkan ke hospital di timur laut India akibat keracunan alkohol.

Kematian akibat keracunan alkohol itu berlaku kurang dari dua minggu selepas minuman keras tercemar membunuh kira-kira 100 orang di negeri utara Uttar Pradesh dan Uttarakhand.

“Sejak Khamis lalu sebanyak 50 kematian direkodkan di Golaghat,” kata Timbalan Pesuruhjaya Daerah Golaghat di Assam, Dhiren Hazarika kepada AFP.

Pegawai lain di daerah Jorhat berkata, 19 orang maut selepas meminum minuman keras tiruan.

Mangsa termasuk ramai wanita yang bekerja di ladang teh tempatan di rantau ini.

“Orang ramai datang ke hospital dengan muntah teruk, sakit dada dan sesak nafas,” kata doktor Ratul Bordoloi yang merupakan pengarah bersama Jabatan Kesihatan Golaghat.

Ketua Menteri Assam Sarbananda Sonowal sudah mengarahkan siasatan dijalankan.

Polis berkata, mereka menahan seorang lelaki yang didapati menjual minuman keras itu.

“Dua pegawai jabatan eksais digantung kerana gagal mengambil langkah berjaga-jaga yang mencukupi untuk penjualan alkohol,” katanya.

Menteri Kesihatan Assam, Himanta Biswa Sarma memberitahu AFP pesakit sedang dirawat di hospital berlainan di daerah terlibat.

Ratusan rakyat miskin mati setiap tahun di negara Asia Selatan itu akibat meminum minuman keras tercemar.

Menurut Persatuan Spirits dan Wain Antarabangsa India, daripada anggaran lima billion liter alkohol yang diminum setiap tahun di India kira-kira 40 peratus dihasilkan secara haram. – 23 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen