PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong-un akan mengadakan lawatan rasmi ke Vietnam beberapa hari lagi, kata pegawai hari ini.
Hanoi sedang membuat persiapan sebagai tuan rumah sidang kemuncak bagi Kim dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang dijadualkan minggu depan.
“Kim Jong-un akan mengadakan lawatan rasmi ke Vietnam dalam beberapa hari lagi,” kata Kementerian Luar Vietnam di Facebook hari ini.
Kementerian tidak memaklumkan secara tepat hari tersebut, tetapi beberapa sumber semalam memberitahu Kim dijangka tiba pada 25 atau 26 Februari ini menaiki kereta api.
Kim dan Trump akan bertemu pada 27-28 Februari pada sidang kemuncak kedua antara mereka yang bertujuan untuk menghentikan penggunaan senjata nuklear Pyongyang.
Sidang kemuncak mereka tahun lepas membuahkan komitmen kurang jelas dari Pyongyang untuk menghentikan senjata nuklear dan pemerhati berharap satu keputusan konkrit terhasil dari sidang seterusnya.
Kim yang dijangka menaiki kereta api, akan berhenti di stesen kereta api Dong Dang dekat sempadan China sebelum menaiki kereta untuk perjalanan sejauh 170km ke Hanoi. – AFP, 23 Februari, 2019.
Komen