PRESIDEN Donald Trump semalam berkata pembatalan rancangan pemindahan ibu pejabat Amazon ke New York adalah “kerugian besar” kepada kota raya kewangan itu.
Kejiranan Bandar Long Island di New York adalah satu daripada dua lokasi dipilih gergasi runcit dalam talian itu tahun lepas bagi ibu pejabat keduanya, HQ2.
Amazon menjanjikan perubahan kepada kompleks bangunan di Queens yang akan membentuk lebih 25,000 pekerjaan kepada penduduk tempatan, dengan balasan pengecualian cukai hampir AS$3 bilion (RM12 bilion), sebahagian inisiatif bandar tersebut untuk menarik pelaburan.
Ia membatalkan rancangan itu minggu lepas, selepas bantahan pemimpin golongan minoriti yang bengang dengan subsidi yang ditawarkan kepada gergasi itu.
“Saya rasa ia kerugian besar,” kata Trump, yang juga taikun hartanah di New York itu.
“Saya rasa jika anda tengok urus niaga, ia bukanlah untung sangat, mereka boleh dapat urus niaga lebih baik, tetapi kehilangannya adalah kerugian besar kepada New York.”
Kenyataan itu berbeza dengan nada sebelum ini dikeluarkan presiden yang lantang mengecam Amazon dan CEO Jeff Bezos yang juga memiliki The Washington Post.
Trump berulang kali menuduh Post melobi untuk syarikat itu, mendakwa Perkhidmatan Pos AS kerugian “berbilion dolar” kerana menghantar bungkusan Amazon. – AFP, 23 Februari, 2019.
Komen