PENYANYI terkenal R. Kelly pada Jumaat didakwa dengan 10 tuduhan jenayah seks di Chicago terhadap empat mangsa, yang mana tiga daripadanya adalah bawah umur.
Hakim membenarkan waran tangkap tanpa jaminan dikeluarkan terhadap penyanyi berusia 52 tahun itu. Ia merupakan perkembangan terbesar dalam kes Kelly yang selama beberapa dekad dituduh atas pornografi kanak-kanak, seks dengan kanak-kanak dan kultus seks.
Tuduhan terhadap Kelly adalah bagi jenayah yang dilakukan antara 1998 dan 2010, kata Pendakwa raya bagi Cook County, Kim Foxx. Pertuduhan melibatkan kanak-kanak berumur antara 13 hingga 16 tahun.
Jika sabit kesalahan, membawa kepada hukuman penjara tiga tiga hingga tujuh tahun, kata Foxx sambil menambah penyanyi itu dijangka akan hadir di mahkamah pada petang Sabtu jika ditahan sebelum itu.
Peguam Kelly, Steve Greenberg menerusi Twitter berkata anak guamnya itu menyerah diri antara 11 malam hingga tengah malam.
Tarikh perbicaraan Kelly dijadualkan pada 8 Mac di Chicago, di mana beliau menetap.
Ini merupakan kali kedua pendakwa raya Chicago mendakwanya atas jenayah seks, selepas perbicaraan dramatik, juga melibatkan pita seks. Kelly dibebaskan daripada 21 tuduhan pornografi kanak-kanak pada 2008. – AFP, 23 Februari, 2019.
Komen