AKTIVIS hak asasi semalam mengecam keputusan Mahkamah Agung India yang mengarahkan pengusiran lebih sejuta keluarga puak dari hutan, menyifatkannya bencana kemanusiaan dan ekologi.
Mahkamah pada Rabu memutuskan yang 1.1 juta keluarga yang tinggal di seluruh India di dalam hutan diusir selepas aktivis pemeliharaan alam menuduh mereka menceroboh kawasan hutan dilindungi dan mengancam hidupan liar menerusi kegiatan pertanian dan pembersihan hutan.
Tetapi Survivor International menyifatkan penghakiman itu, yang besar kemungkinan dilaksanakan minggu depan, sebagai “pengusiran besar-besaran atas nama pemeliharan (alam sekitar).”
“Ini ada potensi kematian kepada sejuta orang dan seperti biasa, industri pemeliharaan berdiam diri tentang hak asasi manusia,” kata kumpulan hak asasi itu di Twitter.
Aakar Patel, ketua Amnesty International India menyifatkannya sebagai serangan terbutuk kepada hak asasi kumpulan Orang Asal yang merupakan kelompok termiskin di India.
“Pengusiran paksa jelas dilarang di bawah undang-undang hak asasi antarabangsa,” katanya.
Akta Hak Hutan India membenarkan kumpulan puak tinggal di atas tanah diteroka mereka untuk tiga generasi sebelum 2005.
Kes itu pertama kali dibawa ke Mahkamah Agung untuk menguji kesahan undang-undang tersebut.
Penghakiman mahkamah minggu ini mengarahkan pengusiran keluarga yang tuntutan mereka untuk terus menetap di atas tanah itu ditolak mahkamah.
Tetapi, kumpulan puak berkenaan berkata ada tanah yang dilindungi akta tersebut sudah didiami bergenerasi lamanya dan tidak lagi boleh dianggap hutan.
Kumpulan aktivis Forest Alliance berkata keputusan itu adalah sebahagian serangan pihak berkepentingan terhadap Orang Asal.
“Kami tidak akan berdiam diri melihat keganasan dilepaskan ke kawasan hutan,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP, 23 Februari, 2019.
Komen