Presiden Sudan isytihar darurat setahun


Presiden Sudan Omar al-Bashir mengisytiharkan darurat selama setahun di seluruh negara dan membubarkan kerajaan semua peringkat ketika bantahan memuncak mendesaknya berundur. – Gambar AFP, 23 Februari, 2019.

PRESIDEN Sudan Omar al-Bashir semalam mengumumkan darurat seluruh negara dan membubarkan kerajaan, dalam usaha mengekang demonstrasi yang mengancam pemerintahan tiga dekad kuku besinya.

“Saya umumkan…darurat seluruh negara selama setahun,” katanya dalam ucapan disiarkan secara langsung dari Istana Presiden di Khartoum.

“Saya mengumumkan pembubaran kerajaan di peringkat persekutuan dan daerah.”

Tunjuk perasaan maut menggegarkan negara Afrika barat itu sejak 19 Disember lalu, dengan penunjuk perasaan menuduh kerajaan salah tadbir ekonomi negara dan menggesa pemimpin veteran negara itu berundur.

Melaungkan slogan “kebebasan, keamanan dan keadilan”, penunjuk perasaan turun ke jalanan selepas kerajaan menaikkan harga roti tiga kali ganda.

Penganjur juga berikrar akan terus mengadakan bantahan sehingga Bashir berundur.

“Kami menggesa rakyat terus berdemonstrasi sehingga matlamat utama kebangkitan ini, iaitu kejatuhan ketua rejim dicapai,” kata Persatuan Profesional Sudan, yang menerajui kempen itu, selepas Bashir mengumumkan darurat bermula.

Lewat semalam, penunjuk perasaan turun ke jalanan di Omdurman, bandar kembar Khartoum, tetapi cepat diserang gas pemedih mata oleh polis, kata saksi.

Bashir kekal tenang berdepan tunjuk perasaan itu, tetapi menolak tuntutan untuknya berundur.

Tunjuk perasaan mula tercetus di bandar pertanian, Atbara, tetapi ia berkembang menjadi protes kepada pentadbiran Bashir.

Angka rasmi meletakkan 31 orang maut dalam keganasan berkaitan bantahan, tetapi Human Rights Watch berkata sekurang-kurangnya 51 orang maut termasuk pegawai perubatan dan kanak-kanak.

Perkhidmatan Perisikan dan Sekuriti Negara itu yang digeruni sudah melancarkan operasi membanteras dalang bantahan, memenjara ratusan penunjuk perasaan, pemimpin pembangkang, aktivis dan wartawan.

Bashir, 75, naik kuasa selepas menggulingkan kerajaan perdana menteri Sadiq al-Mahdi pada 1989.

Sebelum ini, Bashir pernah mengisytiharkan daruray pada Disember 1999, selepas krisis politik tercetus apabila beliau memutuskan hubungan dengan mentor politiknya, Hassan al-Turabi. – AFP, 23 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen