Kebuluran makin teruk di Sudan Selatan, kata PBB 


Separuh populasi di Sudan Selatan diancam kebuluran dan amat mengharapkan bantuan bekalan makanan daripada masyarakat antarabangsa. – AFP, 22 Februari, 2019

JUTAAN rakyat Sudan Selatan berdepan kebuluran, kata agensi bantuan PBB pada Jumaat ketika pertempuran masih berlaku walau perjanjian damai dibuat enam bulan lalu bagi menamatkan perang saudara. 

Hampir tujuh juta orang atau dua pertiga daripada penduduk di negara itu berdepan kebuluran, kata pihak kerajaan dan agensi PBB. 

“Situasi keselamatan bekalan makanan masih terus merosot,” kata pengerusi Biro Statistik Kebangsaan, Chol Aruai, ketika mengeluarkan penilaian bekalan makanan. 

Menurut PBB, situasi kebuluran itu semakin buruk sejak ia diumumkan pada 2017. 

Aruai ketika bercakap kepada pemberita di Juba berkata, lebih banyak bantuan diperlukan untuk mengelakkan malapetaka lebih teruk. 

“Keadaan ini sangat membimbangkan,” kata ketua Organisasi Pertanian dan Makanan, Pierre Vauthier. 

Ketika krisis kebuluran diisytiharkan pada 2017, 4.9 juta orang atau 40% penduduk di negara itu memerlukan bantuan makanan. 

Kini hampir 6.1 juta penduduk, atau separuh daripada populasi di negara itu berdepan masalah kebuluran. – AFP, 22 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen