Separuh pekerja Malaysia bergaji kurang RM2,000 sebulan


Sheridan Mahavera

Gaji pekerja Malaysia tidak banyak berubah berdekad lamanya, sedangkan kos sara hidup meninggi, mewujudkan beban kehidupan kepada majoriti pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2019.

SEORANG daripada dua pekerja Malaysia memperolehi kurang RM2,160 sebulan, di bawah tahap RM2,700 yang dianggap Putrajaya gaji munasabah untuk memenuhi peningkatan kos sara hidup, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin memberitahu The Malaysian Insight, separuh daripada 14.5 juta tenaga kerja yang menyumbang kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 30% atau 7 juta pencarum pula bergaji kurang RM1,000 sebulan.

“Jumlah yang merisaukan ini adalah cabaran kepada pentadbiran Pakatan Harapan dalam usahanya untuk memenuhi janji membantu rakyat Malaysia berdepan peningkatan kos sara hidup.

“Pendapatan pekerja Malaysia mendatar sedangkan kos sara hidup meningkat saban tahun. Dan PH mengambil alih (pentadbiran) pada masa mencabar ini.

“Ketika saya tamat belajar pada 1987, gaji permulaan saya sebagai pengurus estet adalah RM1,7000 sebulan. Anak perempuan saya yang baru habis belajar baru-baru ini, gajinya adalah RM2,500. Jadi dalam tempoh 30 tahun, peningkatan gaji graduan baharu hanyalah RM800,” kata Saifuddin kepada The Malaysian Insight.

Menurut data KWSP, 85% pencarumnya bergaji kurang RM4,000 sebulan dan hanya 3% bergaji lebih RM10,000.

Situasi bertambah buruk apabila menyentuh simpanan KWSP kumpulan berpendapatan rendah di Malaysia, kata Saifuddin lagi.

Hanya separuh daripada 14.5 juta pekerja membuat caruman KWSP. Dan daripada tujuh juta pencarum, 70% daripada mereka mempunyai simpanan yang tidak dapat bertahan lebih daripada lima tahun selepas mereka berumur 55 tahun, had umur yang dibenarkan undang-undang untuk pengeluaran simpanan dana persaraan itu.

Antara punca dikatakan pakar mengapa gaji pekerja Malaysia tidak banyak meningkat adalah kerana kebergantungan kepada pekerja asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2019.

Ini bermakna, pencarum KWSP yang mengeluarkan simpanan mereka pada usia 55 tahun, wang itu hanya bertahan sehingga mereka berumur 60 tahun. Tetapi, jangka hayat rakyat Malaysia adalah 79 tahun disebabkan kualiti rawatan perubatan yang bertambah baik.

Saifuddin berkata kekangan kebajikan pesara akan bertambah sukar di masa depan kerana menjelang 2030, jumlah pekerja aktif Malaysia yang menyumbang kepada ekonomi negara jauh lebih rendah berbanding mereka yang sudah tidak produktif.

“Menangani isu ini memerlukan skala yang lebih besar, perubahan struktur untuk ekonomi negara yang berdekad lamanya bergantung kepada tenaga asing murah, yang didakwa pakar merendahkan gaji pekerja Malaysia,” katanya.

“Kerana inilah janji Pakatan untuk menaikkan gaji minimum adalah sangat penting,” katanya, merujuk kepada had gaji minimum RM1,500 ditetapkan dalam manifesto PH.

Selain gaji minimum RM1, 500, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada penyelesaian jangka pendek dan panjang bagi meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos sara hidup.

Penyelesaian jangka panjang termasuklah pengurangan tenaga kerja asing dan peningkatan perlindungan sosial seperti perubatan awam mampu milik dan KWSP untuk suri rumah.

Manakala, KPDNKK diterajui Saifuddin pula sedang menumpukan kepada penyelesaian jangka pendek seperti memperbanyakkan barangan dalam senarai kawalan harga dan subsidi petrol bersasar.

“Penyelesaian jangka panjang, masalah struktur memerlukan pendekatan holistik dan kita tak boleh bekerja dalam ‘silo’.” – 23 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen