SEKURANG-KURANGNYA 14 orang termasuk lapan wanita terbunuh dan 13 lagi masih dirawat di hospital, selepas minum arak tiruan di Assam, timur laut India.
Kejadian berlaku pada petang Khamis di sebuah rumah di ladang teh Halmira di daerah Golaghat, kira-kira 275 kilometer timur Dispur, ibu kota Assam.
“Malam tadi, 27 orang dimasukkan ke hospital selepas minum arak tiruan. Setakat ini, 14 orang disahkan meninggal dunia dan 13 lagi masih dirawat,” kata seorang pegawai kanan polis, Partha Pratim Saikia ketika dihubungi agensi berita Xinhua.
Menurut Saikia, pihak polis telah mengumpul sampel minuman itu dan siasatan lanjut akan dijalankan.
Mangsa yang maut termasuk pemilik rumah. Awal bulan ini, kejadian sama menyaksikan kira-kira 100 orang terbunuh, di Uttarakhand dan Uttar Pradesh.
Susulan itu, pihak berkuasa telah mengambil tindakan dengan menggantung tugas beberapa pegawai dan menjalankan pemeriksaan terhadap pengeluar dan kedai yang menjual minuman terbabit. – Bernama, 22 Februari, 2019.
Komen