TURKI hari ini mengeluarkan waran tangkap kepada 300 pegawai tentera aktif berkhidmat kerana didakwa ada kaitan dengan cubaan rampasan kuasa pada 2016 untuk menggulingkan Presiden Recep Tayyip Erdogan, kata pendakwa raya.
Sejumlah 295 pegawai termasuk dua kolonel jadi sasaran waran itu, kata pejabat pendakwa raya Istanbul.
Mereka dituduh mempunyai hubungan dengan ulama Islam di AS, Fethullah Gulen yang dipersalahkan Ankara sebagai dalang rampasan kuasa.
Ribuan orang sudah ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan Gulen, yang merupakan bekas sekutu yang kini jadi musuh ketat Erdogan, sehingga sekarang Gulen menafikan jadi dalang rampasan kuasa itu.
Arahan tangkapan itu dikeluarkan di 59 bandar termasuk Istanbul ketika polis mempergiatkan serbuan untuk menahan lebih 300 orang termasuk pegawai tentera disyaki terlibat dalam rampasan kuasa itu.
Pihak berkuasa Turki menjalankan serbuan hampir setiap hari kepada mereka yang disyaki penyokong Gulen.
Walaupun berdepan kecaman kumpulan hak asasi mempersoalkan skala operasi, Ankara menegaskan ia perlu untuk menyingkirkan pengaruh Gulen daripada pentadbiran. – AFP, 22 Februari, 2019.
Komen