PEMIMPIN Myanmar Aung San Suu Kyi menggambarkan negeri Rakhine sebagai potensi ekonomi “masih tak tersentuh” kepada pelabur pada Jumaat, tetapi keganasan terus berlaku di kawasan bergolak itu, yang terbaru membunuh seorang awam berusia 18 tahun.
Rakhine, kawasan luar di barat Myanmar, kaya dengan simpanan gas dan minyak di pesisir pantainya tetapi adalah kawasan termiskin negara itu. Ia bergelut dengan pelbagai konflik agama dan kaum, terutama sekali di utara bersempadan dengan Bangladesh.
Lebih 740,000 orang Islam Rohingya melarikan diri melintasi sempadan selepas kekejaman tentera berlaku pada Ogos 2017.
Tentera kini sedang memerangi pemberontak etnik minoriti Rakhine yang juga beragama Buddha.
Tetapi dalam ucap tamanya kepada syarikat asing di forum pelaburan Rakhine, Suu Kyi memberikan peluang ekonomi menunggu pelabur di kawasan itu.
Kebanyakan potensi negeri itu “masih belum tersentuh”, katanya pada sebuah forum di pantai Ngapali, Rakhine, yang terletak jauh daripada kawasan bergolak.
Beliau memberi tumpuan kepada industri pelancongan, pembuatan, gas dan minyak sebagai “aset berharga Negeri Rakhine.”
Pelabur dari India, Jepun, Korea, Thailand dan China berada dalam forum itu- China kini sedang membina pelabuhan besar di selatan Rakhine dan paip gas melintasi kawasan penting negara itu.
Suu Kyi turut menyalahkan masyarakat antarabangsa kerana memberi “tumpuan sempit kepada aspek negatif berkaitan masalah” di utara negara itu berbanding potensi membangunkan Rakhine.
Rakhine katanya, penuh dengan peluang dan “orang mesra dan ramah, yang bersedia jadi sebahagian daripada pembangunan.”
China, Singapura dan Thailand kini adalah pelabur asing utama di Myanmar setakat Januari lepas, menurut data kerajaan.
Ulasan positif Suu Kyi bagaimanapun dibayangi dengan keganasan terbaru antara tentera dan Tentera Arakan, puak pemisah etnik Rakhine yang menyebabkan seorang gadis 18 tahun maut selepas terkena peluru sesat dalam kejadian tembak menembak di bandar Rathedaung. – AFP, 22 Februari, 2019.
Komen