HOSPITAL Islam Pulau Pinang- yang pertama di utara Semenanjung- dijangka siap pada 2022, dua tahun lebih awal daripada rancangan.
Kos membina hospital 15 tingkat itu juga naik lebih RM50 juta, menjadikan kos penuhnya kepada RM250 juta berbanding kos asal RM200 juta, kata Pengerusi Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) Mansor Othman.
Hospital patuh syariah itu, katanya, akan mempunyai 200 katil, 20 daripadanya dikhususkan untuk golongan asnaf, serta 600 lot parkir.
YIPP menandatangani perjanjian pajakan dengan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) untuk membina hospital itu di atas tanah wakaf seluas 2.54 ekar di Jalan Mayang Pasir, Bayan Baru hari ini.
Kelulusan pembinaan projek daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang sudah diterima Julai tahun lepas.
YIPP juga melantik Hospital Pakar An Nur Hasanah (HPAN) untuk mengenalikan hospital tersebut. HPAN adalah hospital patuh syariah di Bangi, Selangor.
Yang Dipertua MAINPP Abdul Malik Abul Kassim berkata ramai golongan miskin dan tak berkemampuan boleh mendapat manfaat daripada hospital ini, yang diuruskan berdasarkan konsep wakaf dan zakat.
“Hospital perlu buat untung, tetapi ia juga beroperasi selaras dengan konsep wakaf dan zakat. Misalnya, ia akan mengambil kes kebajikan untuk orang miskin yang tak mampu mendapatkan rawatan.
“Kita akan teroka perkara ini lagi,” katanya.
Sementara itu, MAINPP juga menandatangani memorandum persefahaman dengan Khalaz Inspired Sdn Bhd untuk melatih golongan asnaf untuk berniaga dalam talian.
Pinjaman mikro juga akan diberikan kepada peserta program untuk menguruskan perniagaan dalam talian mereka.
Malik berkata MAINPP bagaimanapun tidak meletakkan sasaran jumlah asnaf yang boleh keluar daripada kemiskinan hasil program tersebut.
“Kami sedang berusaha mewujudkan pangkalan data untuk ahli,” katanya.
Malik turut mengumumkan Zakat Pulau Pinang mengutip RM114 juta zakat tahun lepas, melepasi sasaran RM103 juta.
Sasaran kutipan tahun ini adalah RM125 juta, katanya.
Beliau turut mengumumkan Amran Hazali sebagai ketua pegawai eksekutif Zakat Pulau Pinang. Amran menggantikan bekas CEO sebelum ini yang didakwa kerana pelbagai pertuduhan rasuah dua tahun lalu.
Amran sebelum ini berkhidmat di Pusat Zakat Selangor dan Pusat Kutipan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Malik berkata, selepas skandal yang menggemparkan institusi itu, Zakat Pulau Pinang sudah menambah baik kelemahan pengurusannya bagi memastikan wujud ketelusan dan integriti operasi. – 22 Februari, 2019.
Komen