ARAHAN mahkamah mengarahkan kerajaan membenarkan Rosmah Mansor melihat dan mengesahkan 44 keping barangan kemas dihantar kepadanya oleh sebuah syarikat Lubnan sudah tamat tempoh tanpa polis menghubunginya, kata peguam.
Arahan itu dikeluarkan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Wong Chee Lin pada 14 Februari lalu, memberikan Rosmah tujuh hari untuk mengesahkan kedudukan barangan kemas itu.
Arahan itu tamat tempoh pada Rabu lalu, kata peguam Rosmah, N Rajivan ketika dihubungi hari ini.
“Mereka tak dapatkan anak guam kami untuk pergi dan periksa barangan kemas itu. Pendek kata, mereka tak patuh arahan mahkamah,” kata Rajivan merujuk kepada polis.
Barangan kemas bernilai AS$14.79 juta (RM60.21 juta) itu dipercayai dirampas polis tidak lama selepas kekalahan Najib Razak dalam Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu. Pemilik Global Royalty Trading SAL, Salmeh Halimen menyaman isteri bekas perdana menteri itu, mendakwa beliau tidak dibayar untuk barangan kemas itu.
Rajivan berkata mahkamah akan meneruskan permohonan Rosmah, serta kerajaan, untuk menangguhkan prosiding bicara sementara menunggu pengesahan polis mengenai kedudukan barangan kemas itu.
Pesuruhjaya Kehakiman Wong sebelum ini mengarahkan kedua-dua pihak bersiap sedia untuk perbicaraan yang ditetapkan pada 4 dan 5 Mac ini.
Pada 12 Februari lepas, mahkamah diberitahu yang polis masih belum dapat mengesahkan sama ada 44 barangan kemas dalam pertikaian itu berada dalam pegangan mereka.
Peguam kerajaan memberitahu mahkamah yang polis tidak dapat mengesahkan sama ada 44 barangan kemas milik Global Royalty Trading SAL adalah sebahagian daripada 12,000 barangan kemas yang dirampas dari kediaman berkaitan Najib sebelum ini. – 22 Februari, 2019.
Komen