ISU pengusiran penduduk kampung dari Tanah Wakaf Abdul Cauder di Butterworth, Pulau Pinang yang melibatkan penduduk Melayu menjadi topik cermah oleh beberapa pemimpin Umno ketika berkempen pada pilihan raya kecil Semenyih.
Presiden Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Abdul Malik Abul Kassim berkata, beliau sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin Umno terbabit yang dipercayai menuduh majlis agama itu, yang merupakan pemilik tanah berkenaan, mengusir orang Melayu dari kediaman mereka di Pulau Pinang yang diterajui Pakatan Harapan.
Abdul Malik berkata, isu pengusiran penduduk itu sudah selesai yang mana kesemua penduduk bersetuju untuk menerima pampasan.
“Saya telah banyak mendengar (apa yang dituduh oleh pengkritik). Ia sangat mengecewakan untuk mendengar bahawa semua yang telah kita lakukan telah dinafikan.
“Mereka cakap kita halau penduduk dari kampung..ia adalah fitnah terhadap majlis. Kami akan mempertimbangkan untuk bawa mereka ke mahkamah berhubung pembohongan itu,” katanya kepada pemberita di pejabat MAINPP hari ini.
Malik berkata, video pembohongan itu sudah tersebar, dan menambah beliau telah mengenal pasti “seorang atau dua” orang yang menjadi dalang di sebalik perkara itu.
Terima pampasan
Minggu lalu, MAINPP telah menyelesaikan isu pampasan kepada lebih 40 isi rumah di perkampungan seluas 2.5 ekar itu.
Semua keluarga terbabit diberikan sebuah flat berkeluasan 1,000 kai persegi yang akan dibina di tanah wakaf, elaun sewa bulanan RM500 sehingga flat itu siap, bantuan untuk pemindahan sebanyak RM4,000 dan bantuan untuk memasuki ke flat berkenaan sebanyak RM3,500.
Malik sekali lagi mengesahkan kesemua keluarga terlibat menerima pampasan yang ditawarkan, dan tiada perubahan dibuat untuk itu, walaupun terdapat tuntutan elaun yang lebih tinggi.
“Beberapa penduduk sudah berpindah. Segelintir lagi dalam proses untuk berbuat demikian. Mereka ada tempoh sehingga 24 Februari, iaitu pada Ahad ini untuk mengosongkan tanah itu.

“Kami berharap kesemua mereka dapat mengosongkan tanah itu pada Ahad. Kemudian kami akan pasang pagar di tanah itu dan mulakan pembangunan.
“Kami jangkakan semuanya akan berjalan lancar,” kata Malik dan menambah pembinaan flat baharu itu mengambil masa 24 bulan untuk disiapkan.
Awal minggu lalu, 14 keluarga menentang pemindahan itu dan menyatakan elaun sewa sebanyak RM500 itu terlalu rendah, dan meminta jumlahnya dinaikkan kepada RM700. Mereka turut menuntut untuk melihat pelan flat baharu.
Keluarga terbabit juga enggan menerima pampasan kerana lima isi rumah yang lain - keluarga yang tinggal di tanah itu - tidak layak untuk mendapat flat gantian.
Namun selepas rundingan lanjut diadakan dengan MAINP, lima keluarga terbabit turut ditawarkan unit flat berkenaan.
Langkah politik terhadap PH, MAINPP
Semalam, sayap Pemuda Bersatu Pulau Pinang memuat naik kenyataan menerusi Facebook menyelar Umno kerana memainkan isu pengusiran penduduk itu pada pilihan raya Semenyih dan mendakwa PH menghalau orang Melayu dari tanah wakaf.
Ketuanya Shameer Sulaiman memberitahu The Malaysian Insight bahawa pembangkang jelas menyebarkan pembohongan.
“Kami faham MAINPP perlu membangunkan tanah berkenaan. Penduduk sendiri tahu pembangunan itu akan memberi faedah kepada mereka di masa akan datang,” katanya.
“Mereka tidak tunjukkan gambara sebenar. Mereka hanya menabur fitnah, yang mana ia tidak sihat.”
Kampung itu juga terletak di Bagan, yang merupakan kerusi Parlimen Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang merupakan bekas ketua menteri Pulau Pinang.
Penduduk dari tanah wakaf berkenaan Zabidi Zainul mengesahkan isu pengusiran dan pampasan itu selesai.
“Pada awalnya, penduduk tidak suka dengan cara rundingan dibuat. Polis datang ke kampung,” katanya mengenai pemantau yang dibuat oleh pihak polis ketika berlaku pertikaian.
“Tetapi kami hanya mahu selesaikan perkara itu dengan cara baik. Akhirnya, semua bersetuju dengan pampasan yang ditawar. Semua keluara akan menerima rumah gantian.
“Tiada sesiapa pun yang dipaksa untuk menerimanya,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 22 Februari, 2019
Komen