Peguam negara pertahan kerahsiaan surat pelantikan Sri Ram


Bede Hong

Najib Razak menentang pelantikan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam kes jenayah bekas perdana menteri itu. - Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari 2019.

PEGUAM Negara Tommy Thomas berkata pihaknya ada hak untuk mengklasifikasikan surat pelantikan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa raya kanan dalam kes bekas perdana menteri Najib Razak dan perkara itu hak istimewa antara peguam dan anak guamnya.

Thomas dalam prosiding kes permohonan oleh Najib untuk menggugurkan Sri Ram berkata peguam bela tidak ada hak memohon melihat sijil pelantikan itu.

“Pihak pendakwaan juga tidak ada hak untuk meminta surat pelantikan bagi mana-mana peguam tertuduh. Itu bukan kerja kami.

“Jika kita tidak minta surat pelantikan, macam mana mereka boleh tanya bagaimana Sri Ram dilantik,” katanya.

Shafee Abdullah muncul sebagai penasihat utama untuk Najib yang duduk di kendang tertuduh. 

Permohonan Najib didengar dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah. Bekas perdana menteri itu hadir berpakaian suit serba lengkap, tidak bercakap dan kelihatan tenang semasa pendengaran kes.

Peguamnya berhujah yang kecenderungan politik Sri Ram, latar belakang pekerjaan dan “kecenderungan besar untuk membuat dakwaan tidak berasas” dalam penghantaran hujah kesnya, menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai pendakwa raya.

Najib juga membantah sebab digunakan untuk meletakkan surat pelantikan Sri Ram di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Bagaimanapun, Thomas berhujah yang selaku peguam negara, beliau mempunyai kuasa seperti termaktub dalam Seksyen 376 Kanun Prosedur Jenayah untuk melantik “mana-mana orang yang tepat dan bersesuaian” sebagai timbalan pendakwa raya kanan, timbalan pendakwa raya mahupun pembantu pendakwa raya.

Thomas berkata Sri Ram sudah banyak kali dilantik sebagai pendakwa raya awam dan kemampuannya tidak pernah dipertikai oleh Jabatan Peguam Negara.

Tambahnya, litigasi yang berlaku sekarang untuk melihat surat pelantikan pendakwa raya tidak mempunyai peruntukan undang-undang Malaysia, kerana “jelas sekali ia dokumen istimewa antara pelanggan dan peguam.”

“Ia mengandungi terma rahsia dan sulit yang tidak dimaksudkan untuk dilihat pihak ketiga.”

Beliau menambah, Najib tidak mempunyai hak undang-undang yang boleh dilaksanakan untuk menuntut pendedahan surat lantikan itu.

“Kerajaan Malaysia berhak kepada bakat terbaik undang-undang dalam negara dan bakat ini tidak terhad kepada hanya dalam Jabatan Peguam Negara,” kata Thomas, menambah yang kerajaan hanya mempunyai lebih 1,000 peguam, dan “kelebihan pilihan” berada dalam sektor swasta, kerana terdapat lebih 18,000 peguam berdaftar dengan Badan Peguam.

Katanya, jika kerajaan tidak dibenarkan melantik pendakwa raya pilihannya, pihak pendakwaan akan “dilemahkan dan tidak dilayan secara sama adil” dalam mahkamah. – 22 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen