PEMBERIAN subsidi bagi semua individu yang terlibat mengerjakan haji akan diteruskan, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Beliau menafikan insentif itu ditarik oleh Lembaga Tabung Haji (TH) dan menjelaskan pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat menteri bertanggungjawab, Mujahid Yusof Rawa.
“Saya dimaklumkan bantuan subsidi bagi semua kelompok yang terlibat dalam urusan TH akan diteruskan.
“Jadi soal TH sudah tidak ada isu dan Mujahid akan buat kenyataan lagi jelas dan terperinci,” katanya dalam satu ceramah kelompok di Semenyih malam tadi.
Beliau berkata keputusan itu diharap akan memberikan kelegaaan kepada pengundi Melayu di Semenyih yang melahirkan kebimbangan mengenai isu tersebut.
“Jadi saya nak ingatkan pengundi Islam di Semenyih urusan itu diambil perhatian dan akan diatasi.”
Beliau mengulas kontroversi yang timbul susulan kenyataan TH di Facebook bahawa subsidi bagi individu yang merayu dan juga pengiring mahram akan ditarik.
Mujahid pada hujung minggu lalu menjelaskan subsidi berkenaan adalah atas budi bicara TH berdasarkan pertimbangan ke atas kemampuan individu dan bukan pendirian kerajaan.
Muhyiddin dalam ceramah malam tadi turut mengulas dakwaan mengaitkan peranan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam TH.
Ia susulan serangan yang timbul di media sosial mendakwa kerajaan menarik balik subsidi berkenaan atas arahan pemimpin bukan Islam DAP.
“Ini bukan soal beliau Islam atau tidak, ini soal kerajaan nak bantu masalah TH.
“Ada banyak hutang piutang dan kerugian terpaksa ditanggung THa. Jadi kerajaan terpaksa campur tangan (selesai masalah),” katanya.
PRK DUN Semenyih pada 2 Mac ini menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara calon BN Zakaria Hanafi, calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainal, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul dan calon bebas Kuan Chee Heng. – 22 Februari, 2019.
Komen