SEKURANG-KURANGNYA 20 terbunuh semalam apabila sebuah kereta yang dipasang bom meletup di sebuah pekan yang dikuasai pejuang Kurdish di timur Syria, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan agensi Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria.
Bom kereta itu meletup di pekan Shehel di timur kawasan luar bandar Wilayah Deir al-Zour.
Pengeboman itu menyasarkan konvoi pasukan pertahanan diri Kurdish dan pekerja minyak merupakan antara mangsa yang maut, menurut badan pemantau yang berpangkalan di London itu.
Kenyataan itu menyebut kumpulan militan IS merupakan dalang di sebalik serangan tersebut.
Insiden itu berlaku semasa saki-baki militan IS merancang untuk mengosongkan kawasan terakhir yang dikuasainya di timur wilayah Sungai Euphrates.
Badan itu berkata sejumlah 260 militan IS masih berada di tanah ladang di pekan Bagouz manakala berpuluh-puluh orang awam bersiap sedia untuk meninggalkan kawasan tersebut selaras dengan perjanjian tidak rasmi yang dicapai antara Angkatan Demokratik Syria (SDF) dan IS.
SDF disokong oleh gabungan tentera pimpinan Amerika Syarikat dalam usaha mereka untuk mengusir IS dari timur Syria berhampiran sempadan Iraq.
Perpindahan keluar militan IS dan keluarga masing-masing dari timur Syria berlaku agak perlahan sejak kebelakangan ini memandangkan tiada maklumat yang tepat mengenai destinasi mereka. – Bernama, 22 Februari, 2019.
Komen