PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijangka mengadakan pertemuan empat mata dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada sidang kemuncak antara kedua-dua pemimpin di Vietnam, minggu depan.
Trump dan Jong-un yang buat kali pertama bertemu di Singapura pada Jun tahun lalu, dijadualkan menghadiri satu sidang kemuncak di Hanoi, Vietnam pada 27 dan 28 Februari ini.
Trump dijangka menggunakan pertemuan itu untuk mendesak pemimpin Korea Utara itu supaya menamatkan program senjata nuklearnya.
Pegawai AS berkata mesyuarat pada minggu depan akan berlangsung mengikut format yang sama, seperti di Singapura.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua pemimpin akan diberi peluang untuk mengadakan pertemuan empat mata, sebelum menghadiri mesyuarat yang turut disertai delegasi masing-masing.
Wakil khas AS ke Pyongyang Stephen Biegun dilaporkan sudah berada di Hanoi bagi mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Korea Utara, Kim Hyok-chol.
Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara yang bakal dimuatkan dalam kenyataan bersama, yang bakal diumumkan pada akhir sidang kemuncak berkenaan. – AFP, 22 Februari, 2019.
Komen