Bagaimana Nazri mahu patahkan hujah Dr Mahathir semasa debat


Sheridan Mahavera

JANGAN berbohong dan tunjukkan kepada saya wang yang anda kumpul sepanjang tempoh lima penggal menjadi perdana menteri.

Ini adalah soalan cepu emas yang ingin ditanya menteri kanan Nazri Aziz kepada bekas bosnya, Dr Mahathir Mohamad, jika perdebatan antara mereka diteruskan.

Nazri yang juga menteri pelancongan dan kebudayaan, juga akan bertanya kepada Dr Mahathir jika wang yang dikumpul datang dengan sebarang perjanjian, seperti konsesi lebuh raya atau loji kuasa.

Nazri, yang kali pertama dinaikkan menjadi menteri oleh Dr Mahathir, berkata ini adalah persoalan utama yang akan ditanya kepada pemimpin berusia 92 tahun itu sekiranya mereka berdebat di Shah Alam, yang sepatutnya diadakan esok.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insight di luar Dewan Rakyat pada 4 April, Nazri mendedahkan bagaimana beliau akan menangani beberapa soalan yang dijangka diterima daripada Dr Mahathir.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu, bagaimanapun, juga mendedahkan beliau mempunyai beberapa soalan pilihan untuk Dr Mahathir juga, terutama berkenaan RM2.6 bilion yang mengalir ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

Najib, yang juga presiden Umno, berkata dana itu sumbangan peribadi daripada ahli keluarga diraja Saudi, sambil menambah ia untuk membiayai kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013.

Penjelasan ini dinafikan pengkritik seperti Dr Mahathir, yang memerintah Umno selama 22 tahun. Bekas perdana menteri itu juga berkata sumbangan sepatutnya masuk ke dalam akaun parti.

Nazri berkata apa yang Dr Mahathir kumpul sepanjang tempoh pemerintahannya tidak dicerminkan dalam akaun parti itu, sambil menambah bekas presiden parti itu malah pernah menerima wang tunai yang tidak dapat dikesan.

Sebagai perbandingan, Nazri berkata, penggunaan penyata akaun peribadi Najib untuk menerima sumbangan lebih telus berbanding kaedah Dr Mahathir, kerana jejak wang itu boleh dikenal pasti.

Di bawah ini adalah petikan daripada temu bual itu.

S: Apabila debat itu dibatalkan, adakah anda bimbang ia membuat anda dan BN kelihatan buruk, seolah-olah anda mengelak?

J: Mengapa?

S: Kerana semua orang berkata itu semua wayang. Nazri berkata beliau mahu berdebat tetapi akhirnya polis yang berat sebelah ke arah BN, tidak meluluskannya.

J: Adakah anda fikir saya peduli? Adakah anda fikir saya peduli apa yang orang fikir tentang saya? Saya tidak peduli. Setiap hari mereka bangun dan melihat Nazri masih sihat dan masih seorang menteri, ia menyakitkan mereka. Dan saya bercadang melakukan ini untuk banyak tahun lagi. Biarkan mereka setiap hari berasa meluat setiap hari.

Saya tidak mempunyai masa untuk berfikir apa yang mereka fikir. Apa yang penting ialah saya bangun, saya masih ahli Parlimen Padang Rengas dan menteri. Jadi biarkan mereka sakit hati. Saya di sini bukan untuk menggembirakan mereka, tetapi untuk menggembirakan presiden saya dan pengundi Padang Rengas.

Itulah sebabnya saya bersedia berdebat dengan Dr Mahathir bagi mempertahankan presiden dan perdana menteri saya.

S: Apa Dr Mahathir kata dalam semua ceramah dan ucapan beliau, apabila beliau memperoleh wang, ia tidak pergi ke dalam akaun peribadinya tetapi masuk ke dalam akaun Umno.

J: Akaun yang ditunjukkan setiap tahun, yang beliau mahu ahli Umno meluluskan, adalah akaun yang beliau mahu kita tahu. Tetapi perbelanjaan adalah lebih daripada itu.

Saya mahu katakan, Dr Mahathir berbohong. Kami tahu anda mengumpulkan wang. Sekarang kita mahu tahu berapa banyak yang anda kumpul, berapa banyak yang anda belanjakan, berapa banyak baki dan di manakah ia sekarang?

Jangan berbohong dan beritahu saya wang itu ada di dalam akaun Umno. Dan saya tahu beliau berbohong. Anda mengumpul wang tunai.

S: Anda berkata beliau mengumpul wang tunai?

J: Ya. Dan beliau menandatangani cek. Kepada orang-orang tertentu. Daripada akaun mana datangnya? Ke mana semua wang itu hilang? Beliau akan pengsan jika saya bertanya kepadanya. Sebab itu saya mahu perdebatan ini.

Saya diberitahu apabila Abdullah (Badawi) mengambil alih, beliau hanya diberikan sehelai kertas berkenaan akaun. Mengumpul wang untuk parti politik. Mereka juga perlu meletakkan calon. Kita semua melakukan ini dan ia bukan suatu kesalahan.

Jangan berbohong. Beliau mengumpul wang ini lebih lima penggal. Dari manakah ia datang? Kami tidak tahu satu apa pun mengenainya. Apa yang masuk ke dalam akaun (Umno) adalah apa yang beliau mahu tunjukkan. Beliau fikir kita kanak-kanak yang boleh ditipu.

Apa yang masuk ke dalam akaun parti adalah apa yang beliau mahu tunjukkan. Untuk mendapatkan kelulusan daripada ROS (Pendaftar Pertubuhan) supaya parti itu tidak dibatalkan pendaftarannya.

S: Jadi anda mengatakan Dr Mahathir melakukan perkara yang sama seperti Najib?

A: Lebih daripada apa yang Najib lakukan. Dan apa yang beliau masukkan ke dalam akaun Umno tidak mencerminkan jumlah sebenar yang dikumpulkan. Tunjukkan saya akaun. Kami tidak pernah bertanya dari mana wang itu datang.

Saya mendapat RM200,000 daripadanya bagi dana kempen dan RM10,000 untuk membayar deposit calon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya. Saya tidak pernah bertanya kepadanya, saya berterima kasih kepadanya. Jadi jangan soal Najib sekarang.

Bagaimana keadaan semasa pemerintahan anda semuanya okay tetapi pada masa Najib tidak. Anda melalui lima pilihan raya.

S: Terdapat juga dakwaan wang daripada diraja Saudi sebenarnya datang daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

J: Buktikan ini. Kita tidak boleh menjawab tuduhan ini tanpa fakta. Beliau perlu membuktikannya. Dakwaannya menghina.

S: Dakwaan ini datang daripada The Wall Street Journal.

J: The Wall Street Journal, anda boleh mempercayai mereka? Oleh Jabatan Keadilan? Wall Street adalah penjahat terbesar. Anda tidak boleh menganggap apa yang ditulisnya sebagai fakta sebenar.

Beliau perlu menunjukkan fakta, bukan dakwaan semata-mata.

Saya percaya keluarga diraja Arab lebih daripada The Wall Street Journal. Lelaki itu sudah mengakuinya. Jadi apa yang ingin kita katakan? Adakah itu tidak cukup baik?
 
Raja Saudi juga melawat kita. Jadi mengapa percaya Wall Street lagi?

S: Jadi bagaimana anda akan bertindak balas terhadap kenyataan Dr Mahathir yang apabila beliau menerima derma, bukannya mencuri. Tetapi Najib mencuri wang.

J: Biar saya katakan ini. Ada seorang gadis di Pulau Pinang memandu kereta berlawan arus trafik. Beliau mengambil ubat, memandu bertentangan arus lalu lintas, membunuh seseorang. Apabila dihadapkan ke mahkamah, beliau mengaku tidak bersalah.

Itu seperti Dr Mahathir.

S: Tetapi gadis itu berkata beliau orang kurang upaya.

J: Perkara yang sama dengan Dr Mahathir. Ia seperti Dr Mahathir mengakui beliau seorang kurang upaya jika beliau berkata tidak salah (mengutip derma). Sekarang anda tahu mengapa saya bersedia untuk berdebat dengannya.

S: Anda memanggil Najib sebagai rakan baik. Sehingga ke hari ini, anda percaya rakan baik anda tidak melakukan kesilapan?

J: Ya. Beliau tidak berbuat sesuatu yang salah. Apa yang beliau lakukan, adalah untuk kebaikan Umno, bagi saya, untuk Muhyiddin (Yassin) dan Shafie Apdal ketika kami menjadi calon Umno.

Ini adalah sumbangan peribadi daripada seseorang yang tidak mahu identitinya didedahkan kepada orang ramai. Beliau mengambil tanggungjawab peribadi untuk ini. Jika ia masuk ke akaun Umno, bagaimana beliau (Najib) akan mengembalikan sebahagian daripadanya? Dan juga semua orang akan tahu. Ia tidak baik dan itu mengapa ia masuk ke dalam akaun peribadinya.

Bagi saya, memasukkan (derma) ke dalam akaun peribadi adalah telus. Dan dapat dikesan. Kita boleh tahu jejak wang itu.

Jika anda menerima wang tunai, tiada siapa akan tahu. Saya akan bertanya Dr Mahathir, mengapa anda mengambil wang tunai?

S: Dr Mahathir berkata sumbangan masuk ke dalam akaun Umno.

J: Itu satu pembohongan. Jika ia masuk ke dalam akaun Umno, itulah akaun yang kita mahu tunjukkan. Najib juga meletakkan wang ke dalam akaun tersebut. Bagi membelanjakannya untuk perhimpunan.

Wang lain yang diambil Dr Mahathir, adakah ia pergi ke dalam akaun ini (Umno)? Anda tanya kepadanya. Beliau melakukannya. Beliau mengumpul wang tunai. Tanya kepadanya mengapa beliau mengumpul wang tunai? Daripada siapa? Beliau memintanya daripada ahli perniagaan, tidakkah anda fikir beliau terpaksa membayar mereka kembali?

Adakah kita hari ini membayar segala sumbangan mereka melalui konsesi jalan raya, loji kuasa?

S: Jadi, pada pandangan anda adalah lebih baik wang itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi?

J: Ya, dimasukkan ke dalam akaun peribadi. Ia tidak pernah bertujuan hanya untuk Umno. Ia untuk pilihan raya dan BN. Lebih kepada pilihan raya berbanding Umno. Ia bertujuan untuk pilihan raya.

Jadi mungkin apa yang berlaku adalah, beliau meminta derma dan lelaki tersebut berkata, berapa banyak? Dan beliau berkata, saya tidak tahu lagi. Jadi, penderma memberikan jumlah yang besar sekiranya ia tidak mencukupi. RM2.6 bilion adalah banyak. Kerana mereka mahu kami memenangi pilihan raya.

Apa yang saya mahu anda faham adalah sebab mengapa saya begitu berkeras untuk berdebat dengan Dr Mahathir.

Saya juga ingin bertanya kepadanya. Berapa kali pilihan raya dilaluinya? Dr Mahathir mengumpul tunai. Ke mana wang itu pergi? Saya mahu melihat beliau menjawab.

Saya mahu mengajukan soalan ini. Saya rasa polis takut ini terjadi, justeru itu sebabnya mereka tidak mahu membenarkan perbahasan.

Jadi saya mahu bertanya secara langsung, berdepan, secara peribadi. Ini adalah sebab mengapa saya mahu mempunyai debat langsung dengannya. Saya mahu beliau menjawab. Jangan berbohong. Beritahu perkara sebenar.

Saya adalah menteri semasa beliau menjadi perdana menteri. Sebab itu saya mahu perdebatan. Biar beliau membuat tuduhan, saya akan menjawab dan kemudian menyoal beliau kembali. Supaya orang tahu mengapa.

Saya tidak akan menyerangnya. Mengenai skandal pertukaran asing misalnya. Tidak perlu membalas perbuatan jahat kepada orang yang berbuat jahat kepada kita. Idea keseluruhan saya adalah untuk mempertahankan Najib terhadap tuduhan dan apa yang relevan dengan tuduhan, saya mahu bertanya kembali.

Majoriti ahli Umno tidak mempunyai keupayaan melihat perkara ini. Mereka yang tidak menyokong saya juga tidak percaya penjelasan diberikan Najib berkenaan mengumpul wang ini. Mereka fikir saya tidak boleh mempertahankannya  dan akan membuka masalah lain. – 6 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen