KOREA Utara meminta agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menangani krisis kekurangan makanan susulan penghasilan pengeluaran tanaman tahun ini dijangka menurun, kata jurucakap PBB.
Pyongyang memberitahu PBB bahawa ia berdepan kekurangan 1.4 juta tan penghasilan makanan tahun ini, termasuk beras, gandum, kentang dan soya.
“Kerajaan itu meminta bantuan dan kehadiran organisasi kemanusiaan antarabangsa ke negara itu bagi menangani impak situasi keselamatan makanan,” kata jurucakap PBB Stephane Dujarric.
Agensi PBB sedang mengadakan rundingan dengan Pyongyang untuk mengambil tindakan awal bagi menangani keperluan kemanusiaan.
Kira-kira 10.5 juta warga Korea Utara atau 41% populasi itu memerlukan bantuan makanan, menurut angka PBB.
Rayuan daripada kerajaan itu dibuat menjelang pertemuan antara pemimpinnya Kim Jong Un dengan Presiden Donald Trump berhubung persetujuan mengakhiri program nuklear dan senjata Pyongyang.
Korea Utara mendesak sekatan antarabangsa terhadapnya ditarik balik selepas ia menghentikan sementara ujian nuklear dan senjata, serta membina kepercayaan dengan Amerika Syarikat dalam dialog diplomatik.
Ketika sidang kemuncak pertama di Singapura tahun lalu, Korea Utara bersetuju bekerjasama ke arah menghentikan ancaman nuklear di semenanjung Korea tetapi tidak ada langkah kukuh diambil terhadap persetujuan itu.
PBB kekal memberikan tekanan dan mengekalkan sekatan sehingga Korea Utara menamatkan program senjata ketenteraannya. – AFP, 22 Februari, 2019.
Komen