KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) akan membuat pengumuman berkaitan tol dalam masa terdekat, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu itu tidak mengulas lebih lanjut tentang perkara itu, hanya meminta menunggu kenyataan rasmi dikeluarkan.
“Kita baru bincang dalam Kabinet, mungkin dalam sehari dua ini PH akan (keluarkan) kenyataan berkaitan tol.
“Saya tak nak sebut apa, menteri berkenaan akan beri kenyataan,” katanya dalam program ceramah kelompok di Semenyih malam tadi.
Sebelum ini, Ketua Bersatu Negeri Sembilan Rais Yatim mencadangkan PH menutup satu plaza tol dan kurangkan harga minyak jika mahu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Cadangan itu dibuat susulan kekalahan PH pada PRK Cameron Highlands.
Pemansuhan tol dan penurunan harga minyak petrol kepada RM1.50 sebahagian daripada manifesto PH pada PRU14 lalu.
Pelaksanaan janji manifesto PH sering dijadikan bahan kritikan oleh pembangkang.
Terdahulu di depan kira-kira 150 penyokong Bersatu Muhyiddin mempertahankan kritikan dilemparkan kepada PH yang didakwa gagal melaksanakan manifesto.
Muhyiddin berkata kerajaan PH sebenarnya banyak menunaikan janji manifesto meskipun menanggung beban hutang negara yang tinggi.
“Ada orang kata Tan Sri, manifesto banyak tak laksana, tapi kalau tak silap saya cuma ada dua saja kita akui masih belum dapat tunaikan.
“Satu hutang PTPTN dan satu lagi tol.
“Kita nak selesaikan masalah tidak mudah tapi kerajaan PH tidak pernah abaikan tanggungjawab.”
PRK Semenyih merupakan pilihan raya kecil yang keenam diadakan dalam tempoh tidak sampai setahun kerajaan PH memerintah.
Ia menyaksikan pertandingan empat penjuru calon BN, Zakaria Hanafi calon PH Muhammad Aiman Zainali, calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul dan calon bebas Kuan Chee Heng. – 22 Februari, 2019.
Komen