Malaysia masih tidak dapat kerjasama bawa pulang Jho Low


Diyana Ibrahim

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia masih tidak dapat kerjasama dari negara yang menjadi lokasi persembunyian ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Februari, 2019.

MENTERI Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia masih tidak dapat kerjasama dari negara yang menjadi lokasi persembunyian ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho atau Jho Low untuk dibawa pulang.

Beliau berkata kerajaan kini sedang berunding dengan negara berkenaan untuk membawa pulang Jho Low yang juga suspek utama kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kita sudah buat rundingan (bawa balik Jho Low) sampai sekarang kita masih belum dapat kesan tapi kita tahu mana lokasi Jho Low.

“Tetapi kita tidak boleh bawa balik atau tangkap kecuali jika negara itu beri kerjasama,” kata presiden Bersatu itu dalam program ceramah kelompok di Semenyih malam tadi.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan Barisan Nasional (BN) bahawa ahli perniagaan itu hanya rekaan PH.

Bagaimanapun BN kemudian mempertahankan calonnya, Zakaria Hanafi tidak pernah mengeluarkan kenyataan begitu.

September lalu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia sedang dalam usaha untuk membawa pulang Jho Low dari China.

Di depan kira-kira 150 penyokong Bersatu malam tadi, Muhyiddin sempat membidas bekas perdana menteri Najib Razak yang kini dilihat membantu BN berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Muhyiddin berkata hairan apabila bekas pemimpin yang terkenal sebagai kleptokrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara kleptokrasi kini digelar “bossku”.

“Sekarang dipanggil bossku, tapi bossku ini ada berpuluh tuduhan di mahkamah. Saya tak kata bersalah tapi kalau dihadapkan dengan kes ‘prima facie’ itu maksudnya apa.

“Lepas itu bila beliau dengar pemangku Umno, Mohamad Hasan bergerak sini (kempen) beliau rasa ketinggalan jadi (Najib) pergilah Tesco.”

Muhyiddin berkata Najib sepatutnya bimbang berdepan dengan kesnya di mahkamah, bukannya sibuk berkempen di Semenyih.

Najib menghadapi 42 tuduhan di mahkamah berhubung dakwaan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berhubung 1Malaysia Development Bhd.

PRK Semenyih diadakan susulan kematian penyandangnya daripada PH Bakhtiar Mohd Nor, pada bulan lalu.

Hari mengundi ditetapkan pada 2 Mac. PRK Semenyih akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Pakatan Harapan, BN, PSM dan calon bebas. – 22 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen