Berhala ditemui di surau dicuri dari rumah berhampiran 


Noel Achariam

Patung berhala yang ditemui oleh penduduk di surau Sabilul Huda di Taman Pendamar Indah, Klang semalam.– Gambar The Malaysian Insight, 21 Februari, 2019

PATUNG berhala yang ditemui di surau Sabilul Huda di Taman Pendamar Indah, Klang semalam dipercayai dicuri dari rumah berhampiran. 

Ketua Polis Daerah Klang Shamsul Amar Ramli berkata, laporan polis sudah dibuat oleh pemilik patung berkenaan. 

“Kami menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 50 tahun pada pukul 9.30 pagi hari ini. 

“Lelaki itu mendakwa dirinya adalah pemilik patung berkenaan yang diletakkan di rumah sewanya, yang terletak hanya 50 meter dari surau berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Shamsul berkata menurut laporan, kali terakhir lelaki itu melihat patung berkenaan adalah pada pukul 4 petang semalam selepas membersihkan dan meletakkan bunga padanya. 

Beliau berkata, patung berkenaan tidak dikunci dan diletakkan di luar pagar hadapan rumah lelaki terbabit. 

Menurut Shamsul, patung berkenaan dianggarkan bernilai RM300. 

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Siak Surau Sabilul Huda, Mohd Yatim Omar, 64, membuat aporan polis berhubung insiden itu. 

Menurutnya beliau menemui patung berkenaan ketika membuka surau itu pada pukul 4.15 petang untuk solat Asar. 

Yatim kemudiannya menyerahkan patung berkenaan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – 21 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen