RTM bebas buat laporan, kata menteri 


SM Amin

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menyampaikan ucapan di program Suhakam bertemu media di Kuala Lumpur hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 Februari, 2019

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia tiada sebarang halangan untuk RTM menentukan bentuk dan kandungan laporan mereka, kata menterinya Gobind Singh Deo.

Bagaimanapun kata Gobind, beliau akan meneliti kesahihan dokumen panduan kandungan liputan/siaran RTM bagi negeri-negeri di bawah pentadbiran pembangkang seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Ia terpulang kepada mereka nak laporkan apa, bagaimana bentuk laporan mereka.

“Saya tidak tengok lagi yang yang dikatakan di Facebook itu saya akan lihatnya dulu. Baru saya akan respon,” katanya selepas menyampaikan ucapan di program Suhakam bertemu media di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur hari ini.

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini menerusi Facebook mendedahkan dokumen panduan tersebut yang didakwanya bertentangan dengan kebebasan media yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan selama ini.

“PH cakap kerajaan jamin kebebasan media. Penyokong PH pun sorak dan tepuk.

“Tapi tengok-tengok rupanya belakang pintu lain pula ceritanya. Lepas ini pusing-pusing, tuduh salah Najib, salah BN,” katanya sinis.

Dokumen panduan tersebut dipecah kepada tiga bahagian iaitu liputan, tetamu dan lain-lain.

Dalam bahagian liputan dan tetamu, RTM hanya dibenarkan membuat liputan kenyataan Sultan, ketua-ketua jabatan persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan persekutuan, NGO, tokoh agama, akademik yang menyokong kerajaan persekutuan sahaja.

Selain daripada itu, liputan juga hanyalah kepada isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat seperti bencana dan gangguan air serta tidak melibatkan isu-isu politik.

Dalam bahagian lain-lain dokumen panduan itu, RTM tidak dibenarkan terlibat dalam program kerajaan negeri dan tidak boleh menerima sebarang sumbangan atau tajaan daripaan kerajaan negeri pembangkang.

Malah, pegawai RTM juga tidak dibenarkan menjadi pengacara majlis bagi acara kerajaan atau agensi negeri sama ada percuma atau berbayar. – 21 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen