Tanah Perkeso di KL tidak jana pendapatan, kata menteri 


Ragananthini Vethasalam

Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata tanah itu boleh dijual pada harga sama ketika pembeliannya bagi menampung sebarang kerugian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2019

MENTERI Sumber Manusia M. Kulasegaran mendedahkan pelaburan sebanyak RM323 juta oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tanah yang tidak dibangunkan, yang kini sedang dikaji, tidak menjana sebarang pendapatan.

Terdahulu The Malaysian Insight melaporkan seorang sumber Perkeso sebagai berkata, tanah berkenaan yang pada mulanya diperuntukkan bagi pembangunan sedang dikaji oleh Unit Integriti kementerian.

Mengulas berhubung laporan itu, Kulasegaran berkata setakat ini tiada apa-apa pendedahan dibuat mengenai proses itu, masalah yang dihadapi adalah tanah itu tidak menghasilkan apa-apa pendapatan, seperti pelaburan yang lazimnya dibuat oleh agensi seperti itu.

“Perjanjian ditandatangani ketika pentadbiran kerajaan terdahulu. Kita dapati tiada sebarang kesalahan dalam pembelian itu. Hanya satu perkara sahaja (ia tidak menjana) pendapatan. Umumnya bagi agensi, perlu ada pengaliran pendapatan.”

Bagaimanapun kata Kulasegaran, tidak semua tanah mengalami kerugian kerana ia terletak di hab komersil, membeli-belah dan hiburan yang dipanggil Segi Tiga Emas, yang boleh dijual pada harga yang sama pembelian bagi menampung sebarang kerugian.

“Apa pun, agensi sedang menjalankan tugas mereka. Biar mereka lakukan. Biar pematuhan yang perlu dilakukan.”

Perkeso berkata, panel pelaburannya akan menentukan sama ada untuk membangunkan tanah berkenaan sebagaimana yang dirancang sebelum ini atau memansuhkannya. Penilaian baharu juga dijalankan ke atas tanah seluas 0.755 hektar itu terletak di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur yang merupakan tapak kediaman untuk duta Jerman ke Malaysia.

Sementara itu, Kulasegaran berkata pelaburan yang dibuat oleh agensi di bawah kementerian hanya akan dikaji semula jika ia diminta berbuat demikian oleh Ketua Audit Negara.

Beliau berkata pulangan pelaburan untuk Perkeso dan Tabung Pembangunan Sumber Manusia, agensi lain di bawah kementerian itu, berada dalam tahap yang dibenarkan. – 21 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen