PAKATAN Harapan mengulangi kesilapan lalu dengan membenarkan lantikan politik menjawat jawatan dalam syarikat milik kerajaan (GLC), kata pensyarah ekonomi politik.
Edmund Terence Gomez dari Universiti Malaya (UM) berkata, apabila Putrajaya merasmikan Pelan Anti Rasuah Kebangsaan (NACP) mereka berharap boleh menangani masalah sistem dengan lebih telus dan terbuka.
“Tetapi ia tidak ada. Sebagai contoh NACP kata ahli politik boleh jadi pengarah GLC.
“Seperti yang berlaku dalam Scorpene dan Yayasan Wilayah Persekutuan apabila anda meletakkan ahli politik pegang GLC, konflik kepentingan akan membawa kepada gegala rasuah yang luas,” katanya pada forum di Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) hari ini.
Beliau berkata, kerajaan baharu mengulangi apa yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu kerana ia membawa kepada pembiayaan politik.
“Syarikat GLC menjadi kekuatan mereka untuk mengawal sistem politik,” katanya.
Ketua Pegawai Integriti Petronas Rohaizad Yaakob berkata, Malaysia mempunyai undang-undang mencukupi untuk menangani rasuah tetapi tidak mempunyai sistem yang betul atau orang berintegriti.
“Kita boleh ada semua sistem yang baik tetapi jika kita tidak ada orang yang boleh menguatkuasakannya dan kita akan berdepan masalah konflik kepentingan,” katanya yang dipindahkan keluar daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2015.
Bersama seorang lagi pengarah SPRM Bahri Mohamad Zin, Rohaizad dipindahkan ke jabatan perdana menteri semasa penyiasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijalankan.
Bahri diarah keluar kerana mengkritik siasatan polis terhadap pegawai SPRM sementara Rohaizad dikatakan berlembut ketika berurusan dengan pemimpin pembangkang.
Pertukaran mereka kemudian dibatalkan selepas campur tangan Timbalan Ketua SPRM ketika itu, Mohd Shukri Abdull.
“Rasuah berlaku kerana kita tidak mempunyai integriti di tempat betul,” katanya. – 21 Februari, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen