PAUL Stadlen yang merupakan bekas penasihat media Najib Razak, masih belum didakwa tanpa kehadiran (absentia) semalam kerana pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta, kata Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, menambah yang pihak pendakwaan bagimanapun sudah mendapatkan waran tangkap untuk warga British itu.
Ahmad, yang turut mendakwa peguam Najib, Mohd Hafarizam Harun atas pertuduhan sama hari ini berkata, prosiding semalam hanyalah untuk mendapatkan waran tangkap ke atas Stadlen yang meninggalkan negara ini selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Beliau memaklumkan Hakim Azman Ahmad Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, selepas Hafarizam membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan yang dua pertuduhan berasingan ke atas Stadlen didaftarkan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam dan majistret sudah mengeluarkan waran tangkap ke atas Stadlen.
“Jika dia ditemui dan dihadapkan ke mahkamah, besar kemungkinan kesnya akan dibicarakan bersama dengan Hafarizam,” kata Akram.
“Kami mendaftarkan (pertuduhan) di mahkamah dan kami dapatkan waran tangkap. Ia hanya pendaftaran pertuduhan supaya waran tangkap dapat diperolehi.
“Dengan pendaftaran itu, waran tangkap akan diserahkan kepada Interpol, prosedur untuk mengesan dan menangkap Stadlen sekarang dimulakan.”
Dalam pertuduhan pertama, Stadlen dituduh mengarahkan siri pembayaran 27 transaksi, yang merupakan hasil kegiatan haram berjumlah RM8,111,322.43 daripada akaun seorang anak guam firma guaman, Messrs Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, kepada beberapa individu dan syarikat antara Jun dan Disember 2014.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa mengarahkan pemindahan RM6,139,078.34 yang merupakan hasil kegiatan haram, menerusi 16 transaksi daripada akaun anak guam firma guaman sama kepada beberapa individu dan syarikat antara Januari dan Ogos 2015.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Sementara itu, peguam Stadlen, Kelvin Gold dalam kenyataan hari ini berkata Malaysia tiada peruntukan undang-undang mendakwa suspek tanpa kehadiran, dan menyifatkan pertuduhan ke atas anak guamnya bermotif politik.
“Kami rasa terkejut dengan tindakan kerajaan Malaysia, yang hari ini menggunakan media untuk membocorkan yang Paul Stadlen akan didakwa tanpa kehadiran (absentia), walaupun tidak terdapat sebarang peruntukan mengenainya dalam undang-undang Malaysia,” katanya.
“Paul tidak bersembunyi. Beliau pertama kali mengetahui pihak berkuasa mahu bercakap dengannya selepas mereka mengambil langkah luar biasa mengeluarkan notis media pada 1 November 2018 mencari Paul sebagai saksi.
“Susulan itu, firma kami serta merta menghubungi pihak berkuasa Malaysia. Sehingga sekarang kami tidak dapat sebarang maklum balas,” katanya lagi. – 21 Februari, 2019.
Komen