GOLONGAN belia membincangkan apa yang mereka mahu bagi Malaysia baharu dalam satu forum malam tadi, dan exco muda Pulau Pinang berkata keistimewaan Bumiputera sepatutnya diberikan berdasarkan keperluan, bukan kaum.
Exco Kesihatan Dr Afif Bahardin berkata jika tujuan keistimewaan itu untuk memberi peluang ekonomi, pendidikan dan kesihatan, lebih baik jika ia dibuka untuk semua kaum.
“Kerajaan persekutuan baru-baru ini bercakap mengenai memberi status Bumiputera kepada India Muslim. Kenapa tidak diberi kepada Cina Muslim juga? Kenapa kita perlu bercakap mengenai isu Bumiputera?
“Lebih baik ia diberikan kepada semua bila akhirnya, status itu bermaksud untuk menolong mereka yang memerlukan dengan memberikan peluang ekonomi, pendidikan dan perniagaan,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam forum “Apa Anak Muda Mahu untuk Malaysia Baru”.
Dr Afif yang juga ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata syarat perlu diletakkan untuk memastikan keistimewaan itu benar-benar diberikan kepada mereka yang memerlukan.
“Saya mungkin dituduh mahu mengambil keistimewaan itu. Tetapi apa yang saya cakap ialah kita perlu bantu orang miskin tanpa mengira kaum. Saya rasa lebih bermakna untuk berbincang perkara itu ketika kita bergerak ke depan,” kata timbalan ketua Pemuda PKR itu.
Kenyataan Dr Afif itu senada dengan dasar tindakan yang dibawa bekas ketua gabungan pembangkang Pakatan Rakyat beberapa tahun lalu di bawah kepimpinan ketua umum PKR Anwar Ibrahim.
Konsep etnik Bumiputera mengiktiraf keistimewaan Melayu dan orang asli Sabah dan Sarawak.
Mereka yang berstatus Bumiputera mendapat manfaat daripada dasar tindakan afirmatif kerajaan dan kelebihan termasuk biasiswa, keistimewaan pendidikan, pekerjaan dan jawatan dalam perkhidmatan awam, permit atau lesen perdagangan dan aktiviti perniagaan dan kemudahan khas lain.

Dr Afif berkata Malaysia baharu tidak perlu ada kerajaan yang beritahu orang Melayu mereka perlukan “tongkat” untuk berjaya.
“Saya tidak mahu dengar lagi setiap hari kerajaan beritahu saya yang hanya kerana saya Melayu, saya perlukan ‘tongkat’, yang saya berjaya sebab saya Melayu.
“Kenapa perlu kita bergantung pada kerajaan untuk berjaya? Kita perlu hapuskan mentaliti ini. Setiap daripada kita ada potensi dan kita hanya perlukan peluang yang sama rata.
“Kita boleh lakukan yang terbaik dan tidak ada sesiapa boleh beritahu kita tidak cukup bagus dan perlukan bantuan kerajaan,” katanya.
Pada zaman Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, beliau menggunakan “tongkat” untuk menggambarkan kebergantungan Melayu terhadap bantuan kerajaan, sokongan, subsidi dan hak istimewa.
Beliau sebelum ini berkata orang Melayu kecewa dengannya kerana mereka lebih berminat untuk jalan pintas, berbanding bekerja keras.
Dr Mahathir kita pengerusi PH.
Dalam wawasannya untuk Malaysia Baharu, Dr Afif terdahulu berkata negara ini perlu kembali kepada asasnya – balik pada Deklarasi Merdeka dan Rukunegara – dan mengukuhkan kedaulatan undang-undang.
Sementara itu, peguam hak asasi manusia Syahredzan Johan yang turut menjadi ahli panel forum itu berkata hak keistimewaan orang Melayu dan orang asli Sabah dan Sarawak dilindungi oleh Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Ia memberikan Yang di-Pertuan Agong tanggungjawab melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan orang asli di Sabah dan Sarawak, sementara melindungi kepentingan sah kaum lain.
“Keistimewaan itu dalam bentuk kuota kemasukan perkhidmatan awam seperti permit dan lesen, biasiswa dan pendidikan awam. Itu saja. Ia bukan hak,” katanya, menjawab soalan hadirin mengenai apa jaminan PH kepada rakyat Malaysia yang hak mereka akan dilindungi dalam Malaysia baharu.

Syahredzan berkata hak keistimewaan itu akan kekal, walaupun kerajaan berubah kerana meminda peruntukan dalam perlembagaan akan memerlukan undi majoriti dua pertiga dan kelulusan Majlis Raja-raja.
Beliau berkata walaupun jika Dewan Rakyat mencapai majoriti dua pertiga, tidak mungkin raja-raja Melayu akan bersetuju untuk pindaan memansuhkan keistimewaan itu.
Katanya, orang Melayu tidak perlu bimbang hak keistimewaan itu akan hilang, kerana ia dasar yang tidak boleh diubah.
Syahredzan juga menjangkakan BN menggunakan isu itu untuk menakutkan orang Melayu dalam memastikan mereka mengundi barisan kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang.
“Retorik sama akan berulang lagi. Umno akan kata lagi yang mereka melindungi kepentingan orang Melayu, maruah mereka dan Felda, walaupun Felda ialah sebuah institusi yang tetap akan dijaga tanpa mengira siapa menjadi kerajaan.
“PH perlu melihat perkara itu. Orang Melayu takut hilang apa yang mereka ada, tidak kira betapa kecil pun, jika BN digantikan,” katanya.
Syahredzan berkata PH perlu meyakinkan masyarakat luar bandar yang jika kerajaan berubah sekalipun, ia tidak akan menghentikan bantuan diterima sekarang, dan beritahu mereka keadaan akan jadi lebih baik di bawah kerajaan baharu.
Ahli panel lain dalam forum itu ialah Ahli Parlimen Batu kawan P. Kasthuriraani, Sara Ayuni Hamdan dari Pusat Impian Kita dan pengurus besar Majlis Hijau Pulau Pinang Thing Siew Shuen bersama aktivis Adam Adli Abdul Halim sebagai moderator. – 5 September, 2017
Komen