PAS sokong jika undi tak percaya? PM kata tunggu dan lihat


Noel Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan tunggu dan lihat jika PAS menyokongnya sekiranya ada usul undi tidak percaya dibentangkan terhadapnya di Parlimen. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 Februari, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mengambil sikap tunggu dan lihat sekiranya PAS akan menyokongnya jika benar usul undi tidak percaya benar-benar dibuat ke atasnya di Parlimen.

Dr Mahathir berkata demikian bagi menjawab dakwaan pemimpin PAS bahawa sokongan ke atasnya hanya jika terdapat undi tidak percaya diusulkan ke atas perdana menteri itu.

“Jika ada undi tidak percaya, barulah saya akan tengok jika PAS akan sokong saya atau tidak,” katanya kepada pemberita ketika melawat Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur.

Pemimpin PAS membangkitkan dakwaan berhubung usul undi tidak percaya itu selepas pertemuan dengan Dr Mahathir pada Jumaat lalu.

Menurut Presiden PAS Abdul Hadi Awang, pertemuan itu antara lain meliputi bayaran royalti petroleum serta penyelarasan pentadbiran kerajaan negeri dengan persekutuan.

Hadi mengesahkan bahawa kerajaan negeri menerima bayaran royalti minyak lebih RM800 juta untuk tahun 2018 dengan sebahagian daripadanya dipotong untuk bayaran hutang.

Sehari selepas pertemuan itu, Dr Mahathir mendedahkan, PAS menyatakan secara bertulis untuk tidak menyokong Umno.

Susulan itu, pemimpin PAS tampil menjelaskan sokongan itu tidak meliputi Pilihan Raya Kecil Semenyih.

Setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan seterusnya mendakwa sokongan kepada Dr Mahathir itu hanya jika terdapat undi tidak percaya ke atas perdana menteri itu di Parlimen.

Takiyuddin mendakwa pertemuan PAS-Dr Mahathir dijalankan kerana presidennya Abdul Hadi Awang mendapat maklumat bahawa usaha menggulingkan perdana menteri sedang dirancang.

Dakwaan tersebut ditolak pemimpin Pakatan Harapan yang menganggapnya sebagai usaha untuk mengalih perhatian masyarakat daripada skandal yang dihadapi PAS.

Presiden Amanah berkata dakwaan itu untuk mengalih perhatian dari isu wang RM90 juta dari 1MDB yang didakwa disalurkan oleh Umno.

PAS juga menerima tekanan kerana didakwa menipu jemaah parti tersebut dalam isu wang berkenaan.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata sukar untuk mengesahkan dakwaan PAS tentang wujudnya plot dalam PH terhadap Dr Mahathir.

Ini kerana katanya, parti itu membenarkan pembohongan demi kepentingannya.

Anwar berkata isu itu tidak pernah dibangkitkan dalam komunikasinya dengan Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH.

Semalam, kain rentang diletakkan di beberapa kawasan mendesak Dr Mahathir meletak jawatan dan memberi laluan kepada Anwar sebagai perdana menteri kelapan.

Ketua Penerangan PKR dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata kain rentang itu diletakkan dengan tujuan jahat.

“Kain rentang itu menunjukkan ia dirancang dan dilakukan sebagai cubaan mencetuskan kebencian dan perselisihan dalam PH,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mereka membuat laporan polis berhubung insiden itu. – 21 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen