Peguam tunaikan cek Najib didakwa ubah wang haram


Bede Hong

Mohd Hafarizam Harun didakwa menunaikan cek milik Najib Razak berjumlah RM15 juta, wang itu kemudian dimasukkan ke dalam akaun anak guamnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Februari, 2019.

PEGUAM ada kaitan dengan Umno, Mohd Hafarizam Harun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan untuk dua pertuduhan pengubahan wang haram kerana menunaikan cek didakwa milik Najib Razak berjumlah RM15 juta sebelum dimasukkan ke dalam akaun pelanggan firma guamannya.

Kesalahan itu yang didakwa dilakukan pada 2014 dan 2015 adalah berkaitan dengan cek dikeluarkan daripada akaun Bank Am Islamic milik Najib yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun pelanggan Hafarizam di CIMB Bank Berhad.

Hafarizam, 46, ditawarkan ikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin oleh Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad, yang turut menetapkan pendengaran kes pada 25 Mac depan.

Hafarizam yang berpakaian suit hitam kelihatan tenang sepanjang prosiding juga diminta menyerahkan pasportnya.

Dia diwakili oleh ketua peguam Hasnal Rezua Merican dan tujuh peguam pembelaan lain- Reza Hassan, Wan Azmir Wan Majid, Abu Bakar Isa Rahmat, Ellia Zuraini Mat Zin, Umi Farhanah Mohd Nasir, Effa Azzuin Aidrul Hisham dan Muzammil Merican. 

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Muhamad Mustaffa P Kunyalam dan Nadia Mohd Izhar mewakili kerajaan.

Hafarizam dituduh melakukan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

 
Bagi pertuduhan pertama, Hafarizam dituduh menunaikan dua cek antara 16 April 2014 hingga 7 November 2014 berjumlah RM11.5 juta. Bagi pertuduhan kedua pula, Hafarizam dituduh menunaikan cek ketiga berjumlah RM3.5 juta pada 12 Februari 2015.

Ketiga-tiga cek berkenaan ditunaikan di CIMB cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), yang juga menempatkan Ibu Pejabat Umno.

Jika didapati bersalah, dia boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda RM5 juta.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Hafarizam berkata beliau tidak boleh mengulas lanjut.

“Saya tak boleh ulas banyak sebab kes sekarang dah masuk mahkamah dan ia boleh jadi ‘sub judice’ tetapi saya biarkan pasukan peguam saya buat pembelaan saya dan saya akan ambil peluang untuk bersihkan nama,” katanya. – 21 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen