Pegawal pantai AS rancang pembunuhan besar-besaran ditahan


Christopher Paul Hasson, 49, yang mengagumi pembunuh massa Norway, Anders Breivik, ditahan minggu lepas dan pihak berkuasa turut merampas bekalan senjata api yang banyak dari rumahnya di pinggir Washington. – Gambar AFP, 21 Februari, 2019.

SEORANG pegawai pantai AS yang terjebak dengan fahaman pelampau kulit putih dan merangka senarai sasaran politikus Demokrat dan tokoh media ternama ditahan kerana kesalahan senjata api dan dadah.

Christopher Paul Hasson, 49, yang mengagumi pembunuh massa Norway, Anders Breivik, ditahan minggu lepas dan pihak berkuasa turut merampas bekalan senjata api yang banyak dari rumahnya di pinggir Washington, menurut dokumen mahkamah yang didedahkan pada Rabu.

“Defendan berhasrat untuk membunuh orang tidak berdosa dalam skala tidak pernah dilihat negara ini,” kata Peguam Daerah AS Robert Hur dalam usul meminta Hasson ditahan sementara menunggu perbicaraan.

“Defendan pengganas domestik, yang mahu melakukan tindakan merbahaya kepada kehidupan manusia yang berhasrat menjejaskan kerajaan,” kata Hur.

Hasson, yang ditahan pada Jumaat, direman kerana kesalahan dadah dan pemilikan haram senjata api dan bahan letupan.

Pejabat Peguam AS berkata 15 senapang dan 1,000 butir peluru ditemui daripada ruang bawah tanah rumah Hasson di Silver Spring, Maryland bersama-sama dadah, termasuk streoid dan hormon pertumbuhan manusia.

Pendakwa raya berkata Hasson mengenalpasti dirinya sebagai “nasionalis kulit putih selama lebih 30 tahun dan menyokong keganasan berfokus untuk mewujudkan tanah air orang kulit putih”.

Hasson berulang kali menggunakan sebahagian “manifesto Breivik” bagi mengumpul senjata api dan membuat senarai sasaran, kata pendakwa raya.

Antara dokumen dirampas termasuklah surat ditulis kepada seorang pemimpin Neo Nazi Amerika yang dianggap Hasson sebagai “nasionalis kulit putih lama” dan “pemimpin buat kerja”.

Senarai potensi sasaran dikumpul Hasson termasuklah Speaker Dewan Demokratik Nancy Pelosi, Ketua Pemimpin Minoriti Demokratik Chuck Schumer, Wakil Demokratik Alexandria Ocasio-Cortez dan ramai lagi wakil Demokrat dalam Senat dan Dewan.

Tokoh media dalam senarai termasuklah Don Lemon dan Chris Cuomo daripada CNN dan Chris Hayes dan Joe Scarborough daripada MSNBC.

Pendakwa raya berkata rekod carian internet Hasson termasuklah pertanyaan seperti “senator paling liberal”, “dimanakah senator tinggal di DC” dan “adalah hakim mahkamah agung dilindungi”.

Menurut pendakwa raya, Hasson mula mengumpul senjata api sejak 2017 dan juga meluahkan hasrat mendapatkan senjata biologi.

Hasson, seorang leftenan dalam Pegawal Pantai AS bekerja di Ibu Pejabat Pengawal Pantai di Washington sejak 2016 sebagai pegawai perolehan, menurut pendakwa raya.

Dia berkhidmat dalam Tentera Laut AS pada 1988 hingga 1993 dan berkhidmat selama dua tahun dalam Pasukan Pengawal Nasional AS.

Hasson dijadualkan dihadapkan di mahkamah di Greenbelt, Maryland pada Khamis.

Breivik, pembunuh massa dari Norway sedang menjalani hukuman penjara 21 tahun kerana pembunuhan 77 orang, kebanyakan remaja yang menghadiri kem musim panas pada Julai 2011. – AFP, 21 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen