Menghayati sisi manusiawi Nabi


Mohd Syazreen Abdullah

UMAT Islam mudah taasub. Tidak hairanlah, kita galak didogma melalui teologi ismah – terlepas dari kesilapan dan dosa – dalam kuliah agama dan tamrin. Memang ada pendebatan ilmu antara sarjana berkaitan ismah – betapa baginda tidak maksum. Baginda juga manusia seperti kita, tidak terlepas dari salah silap. Malah, ada beberapa riwayat ulama mengiyakan kisah-kisah kelemahan Rasulullah, termaktub dalam musnad Ahmad ibn Hanbal – kitab al-Ashnam.

Mutakhir ini, sikap umat terkesan dari pemikiran ismah – menandai Rasulullah sebagai tokoh idealis. Umat mudah terpukau dengan tutur kata dan penampilan ala ulama persis teladan nabi. Ironinya, mereka jauh sekali dari mempraktik ajaran baginda dalam soal melawan penindasan, kekerasan dan menyeru kedamaian.

Meskipun bukan dimakna ulama itu nabi, ramai antara mereka berlagak menyerupai nabi yang tidak punya kecacatan dan kesilapan. Itulah hegemoni teologi ismah yang bermula dari pendebatan teologi dan berakhir kepada kesalahan berfikir beragama.

Bimbang-bimbang kita diajar kemaksuman berlebih-lebihan, tergadailah nilai kemanusiaan ajaran baginda.

Kita sebar kehebatan baginda berdasarkan kisah mukjizat. Namun, tidak pula kita hayati ketabahan, toleransi, keadilan, demokratik, kesejagatan, egalitariannya baginda – sunah yang lebih utama.

Maka umat disuapi agama berdasarkan watak peribadi seseorang. Seolah-olah kemaksuman menjadi bahagian daripada keimanan. Bukan budaya kritikal. Akhirnya kita sebar teologi ismah untuk menutupi kelemahan wacana berfikir umat dengan melonggokkan kisah superior tanpa banyak soal.

Umat diajar telan dan percaya bulat-bulat apa-apa jua yang keluar dari mulut agamawan. Kita tidak mahu memperkaya khazanah kajian tentang Rasulullah kerana ia akan menjadikan baginda ruang terbuka untuk kritikan – bertentangan dengan konsep ismah. Begitulah kita mencipta dogma pemikiran umat – apa jua atas nama agama usah dikritik.

Akhirnya ada agamawan mengambil kesempatan membina bayangan ala Rasulullah demi menutupi kelemahan diri. Sekalipun mereka mengakui ada melakukan kesilapan, ia tetap dianggap ijtihad dan dapat pahala. Betapa angkuhnya. Macam pernah dengar?

Manusianya nabi

Bagaimana sikap sebegini bermula? Kerana kita gagal menyelami sisi peribadi baginda. Selama ini kita dikaburi dengan kisah-kisah baginda manusia luar biasa. Barangkali inilah alasan mengapa kita sulit meneladani sikap baginda dalam beragama. Kesempurnaan nabi sesekali tidak menafikan kompleksiti kehidupannya. Umat tidak menghayati perit getirnya kehidupan anak kecil tanpa ibu ayah. Bagaimana perasaan anak yatim yang dicampak di tengah kota urban, kosmopolitan rencam budaya. Sebuah kota kapitalis yang kaya dengan rencam keagamaan, seniman bahkan pelacuran.

Mekah sebuah kota pasaran saham Wall Street, dipenuhi kelompok elit – menindas yang lemah. Tidak terfikir Rasulullah yang kehidupan zaman kecilnya jauh di luar kota bakal mengubah budaya dan akhlak jahiliah pada masa mendatang.

Tidak boleh digambarkan pilu seorang yatim yang tersisih di pinggiran dan tidak punya apa-apa untuk membangun dirinya di tengah kesibukan dan kebobrokan sistem di Mekah. Sebagaimana disebut sarjana Lesley Hazleton dalam The First Muslim, Mekah sebuah kota yang dianggap bisnesnya adalah keimanan.

Begitulah kisah seorang saudagar menjadi seorang pemikir radikal di tengah-tengah kejahilan umat. Malangnya kita jarang berbincang tentang sosok Rasulullah yang menyatu dengan realiti kemanusiaan berbanding kisah-kisah magis. Namun, umat suka sebar cerita mukjizat yang kesahihan sebahagian sumbernya diragui.

Hipokrit cinta Nabi

Jujurlah, kita jauh dari menjiwai intipati perjuangan baginda. Baginda hanya dijulang ketika majlis Ya Hanana. Hakikatnya, nama baginda ditunggang parti lebai manakala kapitalis hanya mencintai nabi demi melariskan jualan pakaian sunah. Semua itu kita tandai sebagai simbol mencintai Rasulullah.

Nyatalah, umat terlalu mendewakan simbol “kenabian” sehingga melupakan mesej perjuangan baginda, khususnya soal kemanusiaan.

Sosok peribadi Rasulullah jarang sekali dikaji. Pemikirannya tidak diteladani. Sebaliknya baginda hanya muncul ketika sambutan Maulid. Dan sesekali apabila namanya dihina, umat bangkit melawan dengan penuh emosi.

Umpamanya cetusan kemarahan terhadap The Satanic Verses karya Salman Rushdie pada 1998. Gara-gara dituduh melempar penghinaan terhadap baginda, beliau difatwakan halal darahnya. Begitulah sentapnya umat Islam; taasub hingga sanggup menghalalkan darah manusia.

Nabi hanya pemberi peringatan

Ramai antara kita hanya buat-buat faham kononnya mereka menjulang sunah. Sebaliknya mentaasubi nabi membuta tuli, terikut-ikut ajaran ismah dalam usrah. Mulut kita kaku untuk menegur dan menyebut tidak kepada kezaliman walau nama Rasulullah tidak lekang berkumat-kamit di bibir. Lebih mual, kita selamba merelakan tindakan berbohong atas nama nabi.

Paling malang, semua itu kita telan dari kuliah para ustaz, agamawan dan ulama tradisional. Walau sumber itu dari hadis, pandangan ulama sekalipun, ia bukanlah bermakna kita harus meyakini secara mutlak. Bahkan para ulama ada variasi pandangan tentang sumber sejarah mahupun hadis. Pendebatan tentang sumber sejarah kehidupan, mukjizat dan biografi baginda masih diperdebat sehingga kini. Jadi, bukalah minda. Jangan taasub.

Seharusnya umat mengkaji sosok Rasulullah dalam konteks idealisme dan pragmatisme, keimanan dan politik – bukanlah dijulang-julang dek kuasa superhero.

Tidak salah. Bahkan kita dianjur mempunyai rasa cinta yang mendalam kepada Rasulullah – insan pilihan Tuhan. Malangnya, kita obses mengimani kemaksuman baginda berbanding nilai perjuangan baginda. Akhirnya umat jadi mundur gara-gara terlalu taasub kepada teologi ismam yang membawa kepada kemaksuman yang melampau-lampau.

Quran merakam tuntutan orang Arab agar nabi memperlihatkan mukjizat; dan orang-orang kafir mencabar: Mengapa tidak diturunkan kepadanya mukjizat dari Tuhannya? Katakanlah; Sesungguhnya mukjizat itu terserah kepada Allah. Dan sesungguhnya aku hanya pemberi peringatan yang nyata (29:50).

Ayat terakhir ini membukti nabi tidak dihadirkan untuk memperagakan hal ajaib seperti dituntut oleh orang Arab. Mereka menuntut diperlihatkan air pancut dari tanah, (17:90) meruntuhkan langit (17:92). Jawapan nabi hanya “maha suci Tuhan, saya tak lebih dari seorang manusia utusan biasa” (17:93).

Tugas nabi menyampaikan risalah tentang hari akhirat. Kerana Quran mengambarkan sisi kemanusiaan nabi. Sebaliknya sirah menampakkan nabi sebagai manusia ajaib – superhero. Memang sejak kecil lagi kita disogok dengan kisah terbelahnya bulan, hati dibelah lalu dicuci air zamzam dan kembara Isra’ dan Mikraj. Umat dihidangkan sosok idealis sehingga melangkau pengetahuan manusia biasa.

Meskipun umat hari ini sudah maju, kita perlu kritis. Menoleh kepada sains untuk mencari penjelasan. Bukan lagi dihampar kisah berunsur supernatural, magis dan mistik. Maka, Islam dihayati bukan lagi dari lensa kemaksuman sosok sebaliknya sejarah kemanusiaan dan keimanan.

Malangnya, kajian sirah tidak mencakupi isu kemanusiaan, keadilan, toleransi sebaliknya umat dikilaui dengan cerita mukjizat.

Akibat taasub membabi buta, umat jadi mundur. Kita bimbang, kegagalan menampilkan Rasulullah yang manusiawi, menggagalkan kita untuk melahirkan umat humanis dan refomis persis baginda. Kita tidak mahu melahirkan generasi mundur akibat menunggangi nama Rasulullah atas kejahilan diri.

Rasulullah bukan superman. Baginda hanya manusia biasa yang dipilih dan diberikan-Nya segala macam kelebihan. – 21 Februari, 2019.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen