SUKAR untuk membayangkan seluruh negara bersatu tenaga menentang cuti umum baharu- tetapi itulah yang berlaku di Austria apabila wujud penentangan besar terhadap rancangan kerajaan memberikan cuti separuh hari pada hari Good Friday.
Kerajaan Austria membentangkan cadangan tersebut bagi memenuhi penghakiman dikeluarkan Mahkamah Keadilan Eropah bulan lepas yang adalah salah untuk Good Friday menjadi cuti umum hanya untuk kumpulan tertentu Kristian sahaja.
Sebagai tindak balas, kerajaan mengumumkan pada Selasa yang bermula pada 19 April tahun ini, semua orang diberikan cuti separuh hari bermula jam 2.00 petang.
Tetapi, keputusan itu mendapat kecaman banyak pihak.
Penganut gereja Protestan- yang sehingga kini mempunyai hak mengambil cuti sehari penuh- menyifatkan peraturan tersebut sebagai tidak adil, dan perniagaan berkata cuti umum baharu itu akan menelan belanja tinggi.
Malah, kesatuan sekerja juga berkata tindakan kerajaan itu memperbodohkan pekerja.
“Cuti umum bermula jam 2 petang pada Jumaat, di mana ramai pekerja sudahpun habis bekerja tengahari adalah mengarut,” kata Bernhard Achitz daripada Persekutuan Kesatuan Sekerja Austrian (OeGB).
Hari bekerja bermula lebih awal di kebanyakan tempat di Austria, dan banyak perniagaan sudah mempunyai kelaziman menamatkan waktu bekerja mingguan pada tengahari Jumaat.
Akhbar The Die Presse berkata: “Adakah kedai akan terus dibuka pada cuti separuh hari ini?” merujuk kepada peraturan ketat peruncitan Austria.
Ramai penduduk juga menggunakan media sosial untuk mengecam pemberian cuti umum baharu itu, menggelarkannya sebagai “separuh Good Friday”.
Mahkamah Keadilan Eropah mendapati adalah satu diskriminasi untuk menjadikan Good Friday sebagai cuti bergaji hanya kepada ahli Protestan dan kumpulan Kristian tertentu.
Good Friday adalah hari penganut Kristian percaya sebagai hari penyaliban Jesus sebelum kebangkitannya pada Easter.
Sekitar 5.2 juta penduduk Austria adalah penganut Roman Katolik, daripada jumlah penduduknya seramai 8.8 juta orang.
Kumpulan kedua terbesar dianggarkan penganut Islam (sekitar 700,000), Kristian Ortodox (500,000) dan Protestant (300,000). – AFP, 21 Februari, 2019.
Komen