KURANG faham agama antara punca segelintir umat Islam mengambil tindakan penguatkuasaan sendiri dalam mencegah kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan, kata Dr Mujahid Yusof.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata niat baik untuk mencegah kemungkaran sebaliknya akan mencemarkan imej Islam jika kaedah yang dipakai tidak mencerminkan agama Islam itu sendiri.
“Sesetengah pihak secara literal memahami hadis (tentang mencegah kemungkaran)
tanpa melihat kepada kaedahnya. Salah kaedah, niat yang baik akan rosakkan imej Islam kerana ini melibatkan soal dosa.
“Bayangkan kalau orang itu tidak bersalah dan bila digunakan amar makruf nahi mungkar, ia boleh menjatuhkan maruah dan memalukan dia dan lebih buruk imej Islam,” katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight, di Putrajaya minggu ini.
Mujahid juga menegaskan pihak berkuasa agama yang yang selalu dikritik kononnya tidak bertindak atas kemungkaran sebenarnya tidak pernah rela pada mungkar.
“Seorang muslim tidak boleh rela dengan mungkar,” katanya.
Mujahid diminta mengulas tindakan beberapa individu dan kumpulan yang cenderung mengambil tindakan sendiri dengan membelakangkan pihak berkuasa agama dalam mencegah maksiat dan mengawal moral Muslim.
Dalam wawancara itu, Mujahid menjelaskan konsep mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran yang dianjurkan Islam kepada umatnya, merujuk kepada satu hadis popular. Hadis itu menyebut tiga peringkat mencegah kemungkaran – dengan “tangan”, “lidah” atau “hati”, dan “dengan hati adalah selemah-lemah iman”.
Naib presiden Amanah itu menjelaskan proses penguatkuasaan perlu dilaksana berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana kegagalan mematuhinya mengakibatkan kesan negatif kepada agensi penguatkuasaan.

Katanya, maksud “tangan” dalam hadis yang selalu dirujuk itu dalam konteks hari ini membawa makna “kuasa” dan kuasa itu pula dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah.
“Kalau tanya saya hari ini yang kita faham (dengan makna “tangan”) kena ada kuasa, kita kena melihat sebanyak mana kekuatan kita, berapa anggota, sama ada ada laporan sudah dibuat.
“Orang kata susahlah… iyalah, mana boleh sebagai pemerintah senang-senang membelakangkan undang-undang, mesti ada laporan, mesti disemak dan sebagainya.
“Orang tidak boleh menganggap mengubah mungkar itu hendak dibuat spontan begitu dalam kerangka amar maaruf nahi mungkar,” katanya.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, amalan mencegah kemungkaran tidak semestinya perlu berakhir dengan tangkapan kerana, merujuk hadis yang sama, menyeru kepada kebaikan termasuk menegur termasuk juga dalam konteks pencegahan kemungkaran.
“Tidak semestinya semua perlu berakhir dengan penangkapan. Ada pihak yang nak mencegah mungkar (merasakan) mesti kena tangkap (pesalah), bila orang lain tidak buat (tangkap) dia kata gagal, sedangkan dia tidak melihat dakwah itu lebih luas,” katanya.
Tambahnya, pengkritik pihak berkuasa agama selalu melihat sisi “tangkapan yang tidak dibuat” tetapi seperti melupakan usaha dakwah melalui teguran dan nasihat melalui pelbagai kaedah yang mereka jalankan.
“Ada rungutan kata kita (pihak berkuasa agama) tidak ambil tindakan. Tetapi yang tiap-tiap hari kita beri kesedaran, ini maksiat, jangan buat maksiat, itu juga satu bentuk mencegah mungkar.
“Kenapa diingat hanya penguatkuasaan saja?,” katanya, sambil mengingatkan proses yang perlu dilalui dalam penguatkuasaan, yang sekiranya tidak dipatuhi boleh menyebabkan penguatkuasaan itu gagal.
“Ia perlu ada SOP, nanti kita nak dakwa, kalau kita kalah di mahkamah lagi malu kita,” tambah Mujahid.

Pihak berkuasa agama di Kedah baru-baru ini membuat laporan polis terhadap Skuad Badar, sebuah badan sukarela cegah maksiat tidak berdaftar yang beroperasi melakukan serbuan antaranya ke hotel-hotel di sekitar Sungai Petani.
Kumpulan yang bergerak sejak lebih kurang dua tahun lalu itu kemudian akan membawa mereka yang ditahan dalam operasi cegah maksiatnya ke tanah perkuburan dan diberikan nasihat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Operasi mereka tidak disertai pihak berkuasa polis, malah dilakukan kerena mereka berpendapatan pihak berkuasa agama gagal membanteras kegiatan maksiat.
Menurut Mujahid, aktiviti penguatkuasaan memerlukan SOP kerana sekiranya semua pihak mengambil tindakan mereka sendiri membelakangkan undang-undang, hidup bermasyarakat akan jadi porak peranda
“Undang-undang itu penting, masyarakat tanpa undang-undang akan porak peranda. (Skuad) Badar pakai ‘tangan’ dia, satu kumpulan lagi guna tangan dia, porak peranda masyarakat sedangkan niat baik untuk cegah kemungkaran,” kata Mujahid lagi.
Januari lalu, ketua dan pengasas Skuad Badar, Azhar Mohamad bersama sembilan anggota sukarelawannya ditahan untuk siasatan berhubung dakwaan terlibat dalam pertubuhan haram. Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.
Kertas siasatan terhadap mereka kini menunggu arahan lanjut pihak Peguam Negara. – 21 Februari, 2019.
Komen