Microsoft beri amaran ancaman penggodam di Eropah


Kumpulan penggodam itu menggunakan taktik licik dengan menghantar emel palsu atau mewujudkan laman web palsu bagi mendapatkan maklumat pekerja sebelum menggodam komputer mangsa. – Gambar EPA, 20 Februari, 2019.

SYARIKAT gergasi teknologi Microsoft memberi amaran tentang ancaman serangan penggodam menjelang pilihan raya umum dan Parlimen Kesatuan Eropah.

Amaran itu dikeluarkan kepada kumpulan sivil, ahli politik dan pasukan kempen selepas Microsoft mengesan ancaman tersebut.

Kata syarikat itu, sebuah kumpulan dikenali sebagai  Strontium dipercayai dalang serangan, dan digelar oleh agensi keselamatan dan kerajaan sebagai Fancy Bear atau APT28.

Kumpulan penggodam itu dipercayai ada kaitan dengan agensi perisikan Rusia.

“Di Microsoft, kita mengesan aktiviti yang mensasarkan institusi demokratik di Eropah,” kata ketua keselamatan perisian syarikat itu Tom Burt.

“Serangan itu tidak hanya mensasarkan pasukan kempen tetapi melibatkan kumpulan pemikir dan pertubuhan bebas yang bergerak atas dasar demokrasi selain kumpulan integriti  yang ada kaitan dengan kerajaan,” katanya.

Microsoft turut mengesan serangan penggodam ke atas akaun 104 pekerja di Majlis Hal Ehwal Luar Jerman, Institut Aspen di Eropah dan Yayasan Marshall Herman antara September dan Disember 2018.

Kumpulan penggodam itu menggunakan taktik licik dengan menghantar emel palsu atau mewujudkan laman web palsu bagi mendapatkan maklumat pekerja sebelum menggodam komputer mangsa.

Antara kes yang dilaporkan setakat ini adalah di Belgium, Perancis, Jerman, Poland, Romania dan Serbia.

Serangan itu dikhuatiri mampu menjejaskan sistem pilihan raya selain menyebarkan berita palsu menerusi media sosial. – 20 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen