UMNO mempertaruhkan perpaduan parti dan Melayu serta rekod perkhidmatannya selama ini dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih selepas tewas dua PRK di Selangor sebelum ini, kata pemimpin parti.
Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata semasa PRK Sungai Kandis, perpaduan dalam Umno tidak seperti yang diharapkan kerana ketika itu parti baharu sahaja selesai pemilihan parti.
Kerjasama dengan PAS juga tidak begitu mantap dan hanya wujud dalam bentuk program-program bersama sahaja, katanya.
“Kita menumpukan strategi kita kepada perpaduan dalam parti dan juga dengan parti lain.
“Dengan kekuatan yang ada, kerjasama yang kita jalinkan dengan PAS, semua orang ada persefahaman yang sama, saya rasa kita boleh rampas semula Dun Semenyih.
“Kerjasama dengan PAS sudah ada satu perkembangan yang positif dan kita berharap ia akan diterjemahkan ke peti undi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dalam PRK Sungai Kandis, calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menang dengan majoriti 5,842 undi menewaskan Lokman Noor Adam, calon Barisan Nasional (BN) yang bukan anak tempatan.
Menurut Nadzari, selepas beberapa PRK sejak PRU14 lalu, BN kini sudah mempunyai formula baharu dalam menentukan calon yang akan mewakili parti iaitu individu yang disenangi masyarakat.
“Yang kita hendak tonjolkan ialah apakah yang boleh diberikan kepada masyarakat. Mesti kita hendak tonjolkan seorang yang mempunyai profil sebegitu.
“Kita dapat lihat calon kita mempunyai profil seperti itu yang berjaya membina dan membentuk ahli keluarga beliau dan bagaimana beliau melibatkan dirinya dengan masyarakat,” katanya, merujuk pada calon BN di Semenyih.
Calon BN, Zakaria Hanafi mempunyai tiga orang anak, dua daripadanya doktor dan seorang lagi sedang di tahun akhir pengajian bidang yang sama. Dua menantu beliau juga dari kalangan profesional.
“Profil ini sangat baik dan boleh dibawa ke tengah untuk membina satu budaya masyarakat di sekeliling beliau. Kita perlu bina masyarakat, ini paling penting,” kata Nadzari.
Adun Sungai Panjang Mohd Imran Tamrin juga sependapat, kejayaan memimpin keluarga adalah bukti kemampuan Zakaria untuk melakukan perkara yang sama terhadap masyarakat di Semenyih.
“Saya mengenali salah seorang menantu beliau, Murtaza Ahmad yang mana beliau adalah rakan kelas saya di UIA dahulu. Seorang yang baik, berpendidikan dan mempunyai dua ijazah.
“Saya yakin apabila seseorang itu berjaya menguruskan keluarga dengan baik, dia juga mampu menguruskan masyarakat dengan baik,” katanya.
Zainal, 58, ditentang calon muda Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali dan calon Parti Sosialis Malaysia, Nik Aziz Afiq Abdul.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Selangor, Rizam Ismail berkata pihaknya akan menggunakan strategi perbandingan perkhidmatan terutamanya terhadap pengundi muda bahawa kerajaan yang ada pada hari ini didakwa gagal menunaikan janji dan mentadbir negara dengan baik.
“Kita akan menggunakan strategi perbandingan. Ini masanya rakyat melihat adakah mereka benar-benar mendapat apa yang mereka harapkan ataupun hanya janji palsu yang mereka dapat selama ini.
“Anak muda sudah sedar mereka tertipu dengan janji-janji manis yang ditabur oleh Pakatan Harapan selama ini. Jadi kita akan berikan penjelasan supaya lebih ramai anak muda sedar bahawa mereka telah ditipu oleh kerajaan pada hari ini.
“Rakyat perlu memilih pemimpin yang ada kredibiliti, kerajaan yang mempunyai rekod perkhidmatan yang baik seperti BN dahulu dalam melaksanakan apa yang kami janji,” ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian di Semenyih pada 2 Mac ini. – 21 Februari, 2019.
Komen