PRESIDEN Vladimir Putin hari ini memberi amaran bahawa Rusia mampu melancarkan peluru berpandu untuk menyerang pusat-pusat strategik jika Washington menghantar senjata ke Eropah.
Amaran itu dibuat selepas Amerika Syarikat (AS) berkata mahu menarik diri dari perjanjian senjata era Perang Dingin yang didakwa dicabuli oleh Moscow.
“Rusia tidak berhasrat untuk mengerah peluru berpandu terlebih dahulu di Eropah,” kata Putin.
“Jika (AS) membangun dan menempatkan senjata itu di Eropah, ia akan mencetuskan isu keselamatan antarabangsa, dan merupakan ancaman serius kepada Rusia.
“Saya mahu memberitahu dengan jelas dan terbuka bahawa Rusia akan mengerahkan senjata yang boleh digunakan untuk menyerang pusat strategik yang mengawal sistem senjata yang mengancam kami.”
Terdahulu, beliau menuduh Washington menggunakan dakwaan palsu untuk menarik diri daripada Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) 1987.
Putin berkata beliau memahami kebimbangan tentang perkembangan perjanjian itu dan kemungkinan negara lain membangunkan senjata yang dilarang untuk AS dan Rusia.
“Situasi ini membangkitkan persoalan.
“AS perlu jujur dan tidak menggunakan tuduhan palsu untuk mencari jalan menarik diri daripada perjanjian itu,” katanya. – AFP, 20 Februari, 2019.
Komen