SEBUAH mahkamah Paris hari ini mendenda syarikat perbankan Switzerland, UBS sebanyak AS$4.2 bilion kerana terlibat dalam kes penipuan cukai, rekod denda terbesar yang dicatatkan di Perancis.
Bank itu didapati bersalah membantu klien dari Perancis untuk menyembunyikan wang berbilion euro dari pihak berkuasa yang mengutip cukai di Perancis.
Perbicaraan kes itu bermula pada tahun lalu selepas siasatan selama tujuh tahun dijalankan apabila bekas pekerja bank itu tampil dengan dakwaan bank itu melakukan penipuan.
Isu itu timbul ketika pihak berkuasa di seluruh Eropah memburu kes elak cukai dan amalan penipuan pihak bank susulan krisis kewangan global pada 2008.
Dalam kes UBS, pihak berkuasa Perancis mendapat lebih 10 bilion euro disembunyikan daripada dikenakan cukai antara 2004 dan 2012.
Anak syarikat UBS di Perancis turut didenda 15 juta euro kerana bersubahat. – AFP, 20 Februari, 2019.
Komen