SEORANG bekas ketua turus tentera China dipenjara seumur hidup selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah.
Fang Fenghui yang dilantik sebagai pegawai tertinggi Tentera Pembebasan Rakyat pada 2012, didapati bersalah menerima dan memberi rasuah selain memiliki sejumlah besar aset yang tidak didedahkan nilainya.
Mahkamah tentera menjatuhkan hukuman seumur hidup kepada Fang, membuang semua hak politik dan mengarahkan rampasan asetnya.
Kedudukan Fang diganti pada Ogos 2017 ketika China bertelagah dengan India berhubung isu pertikaian kawasan, dan hanya beberapa hari beliau bertemu dengan pegawai tertinggi tentera AS untuk membincangkan isu Korea Utara.
Kes jeneral tentera itu dipindahkan ke mahkamah tentera selepas disyaki terlibat dalam rasuah pada Januari tahun lalu.
Fang merupakan satu daripada dua pegawai kanan tentera yang tidak disenarikan dalam kongres Parti Komunis pada Oktober 2017, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa beliau terlibat dalam kes rasuah.
Seorang lagi pegawai tentera, Zhang Yang membunuh diri di Beijing pada hujung tahun sama selepas disiasat dalam kes rasuah.
Presiden China Xi Jinping berikrar untuk meneruskan kempen antirasuah yang dijalankan sejak 2012 dengan menyaksikan penahanan 1.5 juta pegawai parti pelbagai peringkat termasuk pemimpin tertinggi tentera. – AFP, 20 Februari, 2019.
Komen