Seludup gading gajah, ahli perniagaan China dipenjara 15 tahun 


Yang Feng Glan (tengah) didakwa di sebuah mahkamah di Tanzania pada Oktober 2015 bersama dua lelaki warga tempatan kerana menyeludup 860 gading antara tahun 2000 dan 2004, bernilai 13 bilion syiling. – Gambar EPA, 20 Februari, 2019.

SEORANG ahli perniagaan wanita terkenal dari China dijatuhi hukuman 15 tahun penjara kerana menyeludup lebih 350 gading gajah ke Asia.

Kes itu disifatkan sebagai kejayaan besar dalam usaha membanteras pemburuan haram di Afrika.

Yang Feng Glan didakwa di sebuah mahkamah di Tanzania pada Oktober 2015 bersama dua lelaki warga tempatan kerana menyeludup 860 gading antara tahun 2000 dan 2004, bernilai 13 bilion syiling. 

Tertuduh yang digelar “Ivory Queen”, bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

Yang, 69, menetap di Tanzania sejak 1970-an dan merupakan setiausaha agung Majlis Perniagaan China Tanzania-Afrika, selain memiliki restoran makanan Cina yang popular di Dar es Salaam.

Hakim Mahkamah Majistret Kisutu, Huruma Shaidi menjatuhkan hukuman terhadap Yang, Salivius Matembo dan Manase Philemon kerana disabitkan bersalah mengetuai geng jenayah terancang.

Shaidi juga memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak dua kali nilai pasaran gading gajah.

Permintaan gading gajah dari negara-negara Asia seperti China dan Vietnam untuk dijadikan perhiasan serta permata mendorong kepada peningkatan pemburuan haram di seluruh Afrika.

Populasi gajah berkurang dari 110,000 pada 2009 kepada 43,000 pada 2014, menurut bancian pada 2015 yang menyaksikan kumpulan pemuliharaan haiwan menuduh “industri” pemburuan haram menjadi punca kepada pengurangan itu.

Sebelum ini, pada Mac 2016, dua lelaki Cina dijatuhi hukuman 35 tahun penjara kerana bersalah menyeludup gading gajah.

Sementara pada Disember 2015 empat lelaki dari negara sama dihukum 20 tahun penjara kerana menyeludup tanduk badak. – Bernama, 20 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen