Mahkamah India arah bilionair bayar hutang atau masuk penjara


Mahkamah memutuskan bilionair itu perlu menjalani hukuman penjara selama tiga bulan jika gagal membayar hutang itu dalam tempoh empat minggu. – Gambar EPA, 20 Februari, 2019.

MAHKAMAH Tinggi India hari ini memberi kata dua kepada bilionair Anil Ambani agar membayar hutang kepada syarikat elektronik Ericsson dari Sweden atau masuk penjara jika enggan berbuat demikian.

Hakim mendapati Anil, 59, enggan membayar Ericsson sebanyak AS$77 juta seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Agung.

Mahkamah memutuskan bilionair itu perlu menjalani hukuman penjara selama tiga bulan jika gagal membayar hutang itu dalam tempoh empat minggu.

Syarikat Reliance Communications milik Ambani berkata mereka akan mematuhi arahan itu dan membayar hutang tersebut.

Kira-kira 1 bilion rupee sudah didepositkan kepada mahkamah dan bakinya akan diserahkan kepada Ericsson.

Pertikaian dua syarikat telekomunikasi itu bermula apabila Ericsson mendapatkan perintah mahkamah untuk mendapatkan 16 juta rupee dari Reliance Communications.

Kedua-dua firma itu mencapai penyelesaian pada Mei tahun lalu tetapi syarikat India itu gagal mengikut tempoh pembayaran yang ditetapkan.

Ambami berharap untuk tidak mencairkan asetnya dengan menjual menara telekom dan perniagaan rangkaian telekomunikasi kepada Reliance Jo milik adiknya, Mukesh Ambani dengan nilai AS$2.4 bilion.

Kedua-dua beradik itu terlibat dalam pertelagahan untuk mengawal Reliance Industries selepas bapa mereka Dhirubhai Ambani meninggal dunia tanpa wasiat. – AFP, 20 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen