KERAJAAN Korea Selatan menarik semula pelaksanaan garis panduan untuk mempelbagaikan promosi artis K-pop selepas langkah tersebut dikritik kerana menyekat industri yang sedang berkembang pesat itu.
Garis panduan itu dikeluarkan pada minggu lalu membangkitkan isu rupa artis K-pop yang hampir sama selain masalah serius keseragaman dalam kalangan artis ekoran tubuh badan mereka yang terlalu kurus dan memakai pakaian ketat.
Dunia K-pop merupakan perniagaan yang bernilai bilion dolar, begitu juga dengan industri pembedahan plastik dan puluhan ribu rakyat negara itu sanggup menjalani untuk mendapatkan wajah yang lebih elok.
Garis panduan daripada kementerian kesaksamaan gender mengundang kritikan dalam media sosial dan seorang ahli Parlimen yang mengingatkan kali terakhir sekatan terhadap rakyat negara itu dilakukan adalah pada perintahan kuku besi pada era 1980-an.
Ahli Parlimen itu Ha Tae-keung menggesa kerajaan agar memohon maaf dan menyifatkan garis panduan itu sebagai idea yang tidak berpelembagaan.
Sehingga lewat 1980-an, sekatan dikenakan kepada setiap lapisan masyarakat Korea dan kerajaan menapis semua bahan yang disiarkan dalam televisyen sehingga panjang rambut lelaki juga dikawal.
Ekoran kritikan itu, kementerian tersebut berkata akan menarik semula garis panduan tersebut selepas ia menimbulkan kekeliruan yang tidak sepatutnya.
Namun kementerian itu menegaskan pihaknya tidak berniat untuk mengawal atau mengekang syarikat produksi televisyen.
Dalam satu kajian pada tahun lalu, hampir 70% remaja berkata mereka ingin menjadi selebriti dalam dunia hiburan ekoran pengaruh K-pop di negara itu,
Dalam garis panduan itu, kementerian turut menyentuh mengenai kesan pengaruh selebriti TV terhadap belia. – AFP, 20 Februari, 2019.
Komen