Jangan swafoto saja, pengundi Semenyih mahu ‘Bossku’ jawab skandal


Diyana Ibrahim

Jika Najib Razak membuat penjelasan mengenai skandalnya, peluang Barisan Nasional besar di Semenyih lebih besar, kata pengundi yang ditemui. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Februari, 2019.

RATA-RATA pengundi Semenyih yang ditemui The Malaysian Insight berharap bekas perdana menteri Najib Razak akan menjelaskan skandal rasuah ke atasnya dan bukan hanya berswafoto dengan orang ramai.

Seorang pengundi, Ismail Othman, berkata jika Najib menjelaskan skandal itu sudah tentu ia akan dapat membantu Barisan Nasional menang dalam Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih.

“Kita mahu dengar juga bekas perdana menteri jelaskan kes fitnahnya. Itu lebih baik.

“Sebab pada saya pengundi ini dah bosan kalau dengar benda yang sama parti ini kutuk parti sana. Bagi kami semua parti sama sahaja,” kata Ismail, 45, kepada The Malaysian Insight.

Pekerja kilang berasal dari Beranang itu berkata hari ini merupakan kali kedua beliau bertemu Najib, yang berdepan dengan 42 tuduhan di mahkamah.

Ismail yang ditemui semasa Najib mengunjungi Pasar Rabu di Beranang pagi ini untuk beramah mesar dengan pengundi.

“Pertama masa di ceramah Isnin lalu, dan ini kali kedualah. Saya lihat ramai yang datang  dan memang mereka mahu berjumpa dengan Najib.

Seorang lagi pengundi, Rosmah Abdul Kadir mengakui teruja dapat berjumpa Najib tapi masih belum membuat pilihan calon mana yang akan diundi.

“Makcik duduk sini dekat saja. Datang sini sebab kali pertama Najib turun, mesti nak tengok beliau,” kata suri rumah yang berusia 65 tahun itu.

Bagaimanapun Rosmah berpendapat penduduk masih tidak akan mengundi calon Barisan Nasional kerana sokongan terhadap Najib semata-mata.

“Tidak kita hanya sokong Najib dan hormat beliau sebagai bekas pemimpin. Tapi untuk calon makcik tunggu dan lihat, tak pilih lagi.”

Pandangan sama dikongsi seorang sahabat Rosmah, Salmah Desa yang berpendapat empat calon yang bertanding di PRK Semenyih punya peluang sama rata.

“Kita ini bukan orang politik sangat, cuma mahu wakil rakyat yang dapat jaga rakyat cukuplah.

“Tapi kalau tanya kami memang keliru empat calon semua orang sini, susah nak pilih,” katanya.

Seorang lagi pengundi yang ditemui juga mengaku mereka lebih teruja berjumpa dengan Najib untuk berswafoto dengan Najib.

“Kami nak tengok Najib saja, nak amik gambar dengan bossku, kalau tak saya tak turun kempen ini,” kata pekerja kilang Hanisah Hamid 36.

Najib tampil imej baru untuk kembali mendekati masyarakat bawahan dan mempromosinya dengan gelaran “bossku”.

Najib tiba kira-kira jam 8.40 pagi dan memulakan program santai dengan bersarapan bersama penduduk sebelum beramah mesra dengan warga pengundi berkenaan di Pasar Rabu Beranang.

PRK DUN Semenyih akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Zakaria Hanafi, calon PH Muhammad Aiman Zainali, calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul dan calon bebas Kuan Chee Heng. – 20 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen