Letupan bom di premis hiburan Kota Damansara, seorang cedera


Muzliza Mustafa Noel Achariam

Salah satu molotov koktel yang dilempar oleh dua suspek ke arah premis hiburan menyebabkan seorang pekerja warga Bangladesh cedera dalam kejadian jam 4.10 petang tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 4 September, 2017.

SEORANG cedera dalam letupan yang dipercayai berpunca daripada bom petrol yang dilemparkan kepada sebuah premis hiburan di Kota Damansara, Petaling Jaya petang ini.

Mengesahkan kejadian itu, Ketua CID Selangor Fadzil Ahmad berkata fakta kejadian masih belum lengkap dan dia sedang menunggu lebih banyak maklumat berkaitan kes itu.

Sumber memberitahu masih terlalu awal untuk menyimpulkan yang kejadian itu adalah tindakan keganasan.

“Kami sedang periksa,” kata sumber itu.

Pada 2016, lapan orang cedera selepas letupan bom berlaku di sebuah pub di Puchong.

Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) mendakwa bertanggungjawab kepada kejadian itu. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din yang tiba ke lokasi kejadian pada jam 6.30 petang tadi berkata siasatan awal polis mendapati dua bom molotov koktel dilemparkan ke arah kelab malam terbabit menyebabkan pekerja warga Bangladesh cedera.

“Insiden itu berlaku di foyer kelab terbabit yang terletak di tingkat satu pejabat Encorp Garden sekitar jam 4.10 petang ketika pekerja mempersiapkan tempat itu untuk beroperasi pada malam.

“Dua suspek dipercayai terlibat dalam kejadian ini, mereka membaling dua molotov koktel tetapi hanya satu yang mengenai pekerja warga Bangladesh dan menyebabkannya cedera di dahi dan kepala,” katanya.

Zani berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

“Kita melihat kes ini dalam setiap sudut termasuk pemerasan. Pemilik premis ini dipercayai diperas ugut sebelum ini untuk wang perlindungan.

“Kes ini tidak melibatkan aktiviti pengganas atau IS,” katanya.

Zani juga berkata, pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup di sekitar premis terlibat untuk mendapatkan maklumat.

“Suspek dipercayai menggunakan sebuah kereta jenis Audi berwarna hitam untuk melarikan diri dari lokasi kejadian. Kita berjaya mendapatkan nombor pendaftaran kereta terbabit,” katanya.

Sementara itu, pekerja premis hiburan terbabit Mohd Sharif Alsirip, 21 berkata pekerja terbabit cedera terkena molotov koktel sebaik sahaja dia keluar daripada tandas.

“Semuanya berlaku sangat pantas. Salah seorang kakitangan di sini cuba mengejar suspek namun mereka berjaya melarikan diri,” katanya.

Pada 2016, lapan orang cedera dalam kejadian letupan bom di sebuah pub di Puchong.

Militan IS mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan itu.  – 4 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen