AUSTRALIA menahan seorang pengasuh yang sudah tiga dekad tinggal di negara itu, selepas Chile memintanya diekstradisi atas tuduhan penculikan dan seksaan di era Pinochet, kata pihak berkuasa.
Adriana Rivas, warga Chile, sebelum ini ditahan pada 2007 semasa kembali ke negara itu, tetapi kemudian melarikan diri ke Australiapada 2010 ketika diikat jamin, lapor Australian Broadcasting Corporation (ABC).
Rivas didakwa bekerja dengan jabatan perisikan ketika di bawah pentadbiran diktator Augusto Pinochet pada 1970-an.
Jurucakap Pejabat Peguam Negara Australia berkata wanita berusia 60 tahun itu ditahan hari ini. Rivas dikehendaki untuk dihadapkan di Chile atas tuduhan menculik.
Pinochet yang mendapat sokongan Amerika Syarikat, meninggal dunia pada 2006. Ketika zaman pemerintahannya, beribu orang dibunuh, diseksa serta diculik atau dipenjarakan secara paksa. Amerika Latin ketika itu dilanda Perang Dingin, menyebabkan keganasan berleluasa.
Chile mengemukakan permohonan ekstradisi kepada Sydney pada 2014. Rivas bekerja sebagai pengasuh separuh masa dan tukang cuci di pinggir bandar Bondi.
Dalam temu bual bersama penyiar SBS, Rivas mendakwa dia tidak bersalah, tetapi mempertahankan penggunaan seksaan di Chile ketika di bawah pemerintahan Pinochet.
“Ia berlaku di seluruh dunia, bukan di Chile sahaja,” katanya.
Menurut penyelidik di Universiti Diego Portales di Chile, lebih daripada 3,000 pembangkang dan sekutu mereka dikatakan dibunuh atau hilang ketika Pinochet memerintah. Mankala hampir 40,000 orang diseksa. – AFP, 20 Februari, 2019.
Komen