Kerakyatan remaja Britain sertai IS akan dilucut


Shamima Begum mencetuskan kontroversi sejak dia dan dua rakannya menyertai kumpulan itu ketika berumur 15 tahun, empat tahun lalu. – Gambar BBC, 20 Februari, 2019.

BRITAIN akan melucut taraf kerakyatan seorang remaja yang menyertai kumpulan Islamic State (IS) di Syria, yang mahu pulang bersama bayi yang baru dilahirkannya.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam keluarga remaja itu semalam.

Shamima Begum mencetuskan kontroversi sejak dia dan dua rakannya menyertai kumpulan itu ketika berumur 15 tahun, empat tahun lalu.

Kes ini merupakan dilema yang dihadapi banyak negara di Eropah, yang terbahagi antara sama ada membenarkan militan dan penyokong IS pulang semula untuk didakwa atau melarang mereka atas sebab keselamatan.

Peguam keluarga Shamima, Tasnime Akunjee menerusi Twitter berkata mereka amat kecewa dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk melucut kerakyatan remaja itu. Beliau juga berkata keluarga itu sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang.

ITV News melaporkan Kementerian Dalam Negeri menghantar sepucuk surat kepada keluarga Shamima semalam, memaklumkan keputusan tersebut sambil menambah remaja itu berhak untuk merayu.

Kementerian itu percaya Shamima, yang keluarganya berasal dari Bangladesh, berhak menuntut kerakyatan di negara itu.

“Demi untuk melindungi negara ini, (setiausaha kementerian) berkuasa untuk melucut kerakyatan mereka,” kementerian itu dipetik berkata oleh Press Association, sambil menambah ia tidak akan mengulas mengenai kes-kes individu.

Shamima ketika ini berada di kem pelarian di timur Syria. Dia melahirkan anak ketiganya pada hujung minggu lalu dan merayu kepada pihak berkuasa Britain untuk membenarkannya membesarkan anak di Britain. Dia juga menyatakan rasa kesal menyertai IS.

Shamima sebelum ini melahirkan dua orang anak selepas berkahwin di Syria. Bagaimanapun, kedua-duanya meninggal dunia akibat sakit dan kekurangan zat makanan. – AFP, 20 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen